comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

El Nino: hasil bendi Napisah susut lebih separuh

Napisah melihat daun pokok bendi yang layu kekeringan kerana musim panas yang melampau.

KUALA TERENGGANU: Seorang wanita mengalami kerugian apabila 3,000 pokok bendi yang ditanamnya layu kekeringan berikutan fenomena El Nino yang berlaku sejak awal Februari lalu.

Pokok bendi yang sepatutnya mengeluarkan hasil lebih 20 kilogram (kg) bendi sehari kini hanya mengeluarkan lima hingga 10 kilogram.

Napisah Mamat, 56, dari Kampung Bukit Guntong, Manir di sini berkata fenomena itu menyebabkan pokok bendi yang ditanam bersama anaknya, Nor Hisyam Abdul Razak, 35, mengalami masalah kesuburan.

“Daun pokok bendi menjadi layu dan sebahagiannya hampir mati kerana cuaca yang terlalu panas. Situasi itu menyebabkan pengeluaran bendi terbantut dan kualiti bendi tidak mencapai piawaian yang sepatutnya,” katanya.

Menurut Napisah, pelbagai usaha sudah dilakukanya bagi mengatasi masalah itu termasuk menempatkan pokok di bawah rumah hijau namun tidak berjaya.

Tambahnya, ketika ini pokok bendi disiram sebanyak tiga hingga empat kali sehari bagi memastikan pokok kekal segar dan tidak kekeringan.

“Sepatutnya proses menyiram pokok hanya dijalankan satu hingga dua kali sehari tetapi cuaca panas melampau memaksa saya menyiramnya secara kerap,” katanya.

Napisah mengakui dia bimbang pokok bendi yang sedang mengeluarkan hasil itu mati kekeringan jika tidak sentiasa disiram.

Menurut Napisah, dia tidak pernah berdepan masalah seperti itu sejak bergiat dalam pertanian pada tahun 2019.

Ini termasuk semasa dia menanam pelbagai tanaman lain seperti cili merah, lobak putih dan terung.

“Jika diikutkan bendi yang paling lama ditanam kerana lasak tetapi musim panas melampau menyebabkan tanaman itu juga mengalami masalah seterusnya tidak memberikan pulangan yang sepatutnya,” katanya.

Loading...
Terkini