![](https://media.buletintv3.my/2024/02/GAYA-HIDUP-scaled.jpeg)
ALOR SETAR: “Sebelum ni nak jual air kelapa dan tebu dalam balang ni pun susah nak habis tetapi ketika musim cuaca panas ini, tiga jam saja dah habis semuanya,” kata Mohd Yusri Yusof.
Mohd Yusri, 38, dan isteri, Norfazilah Abd Hamid, 36, bersyukur kerana perniagaan air tebu dan air kelapa yang dijual mereka di tepi Jalan Langgar, berhampiran Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini sejak setahun lalu laris setiap hari.
Katanya, setiap hari dia mampu menjual air kelapa muda purata sehingga 50 biji berbanding 20 atau 30 biji pada hari biasa sebelum ini.
“Kalau tebu pula saya menggunakan 120 kilogram (kg) tebu sehari berbanding 60 kg pada hari biasa kalau bukan cuaca panas. Tetapi sejak cuaca panas atau kemarau ini bermula bulan lalu, saya terpaksa menambah stok bekalan kelapa dan tebu disebabkan permintaan berganda daripada pelanggan yang singgah membeli,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
![](https://media.buletintv3.my/2024/02/GAYA-HIDUP-2-scaled.jpeg)
Pasangan itu yang menetap di Kampung Kubang Lintah, Lepai dekat sini tidak menyangka minuman dalam balang yang mereka jual menjadi pilihan pelanggan.
Katanya, wang hasil jualan perniagaan itu akan digunakan untuk membeli baju sekolah serta perbelanjaan keluarga termasuk tiga anaknya yang masih kecil.
“Memang panas sungguh cuaca sekarang ni sampaikan saya dan isteri terpaksa minum secukupnya kerana berniaga di tepi jalan yang terdedah dengan panas. Lepas hasil jualan habis, kami terus pulang ke rumah disebabkan tidak tahan panas,” katanya.
Sementara itu, tinjauan di beberapa lokasi di sekitar bandar raya ini mendapati beberapa kawasan sawah padi mula menjadi kering kontang akibat fenomena El Nino atau cuaca panas yang melanda negeri ini sejak bulan lalu.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan di laman web rasminya hari ini memaklumkan lima lokaliti di Kedah merekodkan status cuaca panas tahap satu atau berjaga-jaga dengan catatan suhu antara 35 hingga 37 darjah Celsius.
Di kawasan lain, purata suhu yang dicatatkan masih dikategorikan sebagai panas iaitu 35 darjah Celsius.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.