PEKAN: Bungkusan buah kabung sira berwarna mewah dan hijau yang dijual di warong tepi jalan di Kampung Pulau Rumput, di sini hanya akan muncul setiap kali Ramadan.
Produk tradisional yang begitu terkenal di kalangan pengemarnya menjadi pencuci mulut ketika berbuka puasa.
Namun untuk menghasilkannya ia memerlukan kemahiran bagi mengelak berlaku keracunan.
Bagi Rahim Usani Husin, 58 setiap kali Ramadan dia dan isterinya Norhayati Mohd Shukur, 48 akan menghasilkan buah kabung bagi memenuhi permintaan pelanggan.
Menurutnya, beberapa peringkat proses perlu dilakukan sebelum buah kabung boleh dimakan, antaranya memisah buah dengan tandan, merebus buah, mengeluarkan isi dan memasak.
“Buah kabung sira dan tidak di sira boleh menyebabkan gatal tekak selepas dimakan sekiranya proses membuatnya tidak dilakukan dengan betul,” katanya, di sini semalam.
Rahim Usani yang menetap di Kampung Pulau Rumput, dekat sini berkata setiap hari dia mampu menghasilkan antara 10 hingga 15 kilogram buah kabung yang sedia dijual pada harga RM5 hingga RM10 sebungkus mengikut berat.
Menurut Rahim Usani, biasanya dia akan menjual buah kabung yang siap diproses itu di warong di tepi Jalan Pekan-Paloh Hinai dekat Kampung Pulau Rumput.
Dan meskipun dianggap mampu memberikannya pendapatan yang agak lumayan terutama sebagai orang kampung, Rahim Usani mengakui tidak mampu memenuhi permintaan semua pengguna kerana pengeluaran buah kabung kini semakin berkurangan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.