comscore
Tumpuan :
Fail Mahkamah

FAIL MAHKAMAH: Sindiket Ibu Ani, antara kes berprofil tinggi yang ditumpaskan

PETALING JAYA: Sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang didalangi seorang wanita warga asing dikenali Ibu Ani yang ditumpaskan pada November 2021 antara kes berprofil tinggi dikendalikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia).

Timbalan Pengarah Siasatan Maritim Negeri Selangor, LT. (M) Mohd Syarizul Mahamood yang berperanan sebagai pegawai penyiasat ketika itu berkata kes berkenaan agak ‘lain’ kerana ia melibatkan satu sindiket yang lengkap.

Timbalan Pengarah Siasatan Maritim Negeri Selangor, LT. (M) Mohd Syarizul Mahamood

“Kerana ia melibatkan satu sindiket penyeludupan pendatang asing, yang boleh dikatakan menyeluruh, mempunyai ejen darat, transporter, ejen di negara jiran, melibatkan PATI yang besar dan jumlah transaksi juga agak besar,” katanya dalam program Fail Mahkamah.

Tambahnya, hasil soal siasat, Ibu Ani, 56 tahun yang memasuki negara ini menggunakan permit pembantu rumah dan menetap di Malaysia lebih 25 tahun itu membawa perwatakan yang lembut dan cuba meraih simpati bagi melepaskan dirinya.

Namun ia tidak menjejaskan siasatan yang dijalankan oleh pegawai penyiasat.

“Sepanjang saya mengendalikan kes Ibu Ani ini dan saya mengambil rakaman percakapannya, dia banyak menggunakan kaedah ehsan, dia tahu menggunakan keadaan dengan usianya dengan perwatakan dia untuk meraih simpati,” katanya.

Ibu Ani atau nama sebenar Ramiani dituduh di bwah Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 pada 10 Disember 2021.

Tiada pengakuan direkodkan yang akhirnya membuatkan kes itu berlarutan sehingga Julai 2023.

Namun pada hari pertama perbicaraan berlangsung di Mahkamah Tinggi Klang pada 28 Julai 2023, Ibu Ani akhirnya menukar pengakuan kepada bersalah semasa permulaan sebutan kes dibacakan kepadanya di hadapan Hakim.

Ketua sindiket itu kini menjalani hukumannya di Penjara Wanita Kajang.

Saksikan imbasan terperinci kes menerusi program FAIL MAHKAMAH pada jam 9 malam ini di TV3, atau strim menerusi www.tonton.com.my dan aplikasi Tonton.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini