KOBE: Bandar barat Jepun yang menjadi lokasi Istana Himeji mencadangkan kepada dewan tempatan pada Jumaat untuk mengenakan bayaran dua atau tiga kali ganda bagi tiket masuk ke Tapak Warisan Dunia itu bagi bukan pemastautin pada 2026. Datuk Bandar sebelum ini menetapkan harga yang jauh lebih tinggi bagi pelancong asing.
Agensi berita Kyodo melaporkan kerajaan tempatan Himeji di Wilayah Hyogo, akan mengemukakan rang undang-undang pada Mac untuk menaikkan harga tiket dewasa daripada 1,000 yen (US$6.70) ketika ini kepada antara 2,000 yen hingga 3,000 yen, sambil menjadikan kemasukan percuma bagi individu berumur bawah 18 tahun, yang kini dikenakan bayaran 300 yen, mulai musim bunga 2026.
Kerajaan tempatan juga merancang memperkenalkan tiket digital dengan waktu dan tarikh yang ditetapkan secara percubaan dari April hingga Oktober, sempena penganjuran Ekspo Dunia di wilayah jiran, Osaka.
Jun lepas, Datuk Bandar Himeji Hideyasu Kiyomoto berkata beliau mempertimbang untuk menaikkan empat kali ganda bayaran tiket masuk ke istana bagi pelawat asing sebagai langkah membantu menampung kos penyelenggaraan.
Beberapa ahli dewan perbandaran menyuarakan kebimbangan terhadap idea itu, termasuk kemungkinan ia akan memberi tanggapan negatif kepada pelancong asing.
Menurut pihak berkuasa perbandaran, kira-kira 1.48 juta orang mengunjungi istana pada tahun kewangan 2023, dengan 452,300 daripadanya adalah pelawat luar negara, melebihi 400,000 untuk pertama kali sejak data tersedia pada tahun kewangan 1992.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.