WASHINGTON: Firma teknologi utama komited mempraktikkan langkah baharu memerangi ekstremisme dalam talian, dengan membuang kandungan lebih ganas dalam platform perkhidmatan masing-masing dan mempromosikan budaya celik media kepada pengguna muda.
Pendekatan itu sebahagian daripada agenda sidang kemuncak Rumah Putih untuk memerangi keganasan yang didorong kebencian.
Platform seperti YouTube dimiliki Alphabet dan Facebook kepunyaan Meta menerima kecaman bertahun lamanya oleh pengkritik yang menegur syarikat berkenaan.
Ini kerana, syarikat teknologi berkenaan dilihat seolah-olah membenarkan ucapan berunsur kebencian, pembohongan dan retorik ganas menular dalam perkhidmatan mereka.
Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, pada Khamis menyeru rakyat negara itu bersama-sama memerangi sikap perkauman dan ekstremisme.
Gesaan itu dibuat sempena sidang kemuncak di Rumah Putih.
Sidang itu menghimpunkan pakar dan mangsa yang terselamat, termasuk pemimpin tempatan rentas parti.
Menurut pihak Youtube, ia akan mengembangkan dasar mengenai ekstremisme ganas untuk membuang kandungan yang dilihat ‘mengagungkan’ tindakan ganas, meskipun pencipta video itu tidak berkaitan dengan organisasi pengganas.
Laman penstriman video itu sudah pun melarang sebarang hasutan ganas tetapi dalam kes tertentu, ia tidak menggunakan dasar sedia ada terhadap video berkaitan mempromosikan kumpulan militan yang terbabit dengan pencerobohan bangunan Capitol AS pada 6 Januari lalu.
Laporan oleh Tech Transparency Project pada Mei lalu mendapati, 435 video promilitian terkandung di platform YouTube, termasuk 85 disiarkan sejak serangan 6 Januari lalu.
Selain itu, terdapat beberapa video berunsurkan nasihat latihan seperti cara melakukan serangan hendap gaya gerila.
Jurucakap YouTube, Jack Malon, enggan menyatakan sama ada perkhidmatan itu akan mengubah pendekatannya terhadap kandungan terbabit di bawah dasar baharu itu.
Beliau berkata, kemas kini itu bagaimanapun membolehkan ia pergi lebih jauh dengan penguatkuasaan berbanding sebelum ini.
Menurut YouTube, ia akan melancarkan kempen literasi media untuk mendidik pengguna muda cara mengesan taktik manipulasi yang digunakan untuk menyebar maklumat salah.
Bagi Microsoft, ia akan menjadikan versi asas dan lebih berpatutan membabitkan kecerdasan buatan dan mesin alatan pembelajaran supaya tersedia untuk kegunaan di sekolah dan organisasi lebih kecil, untuk membantu mengesan serta mencegah keganasan.
Meta selaku pemilik Facebook pula mengumumkan, pihaknya akan bekerjasama dengan penyelidik Middlebury Institute of International Studies’ Center on Terrorism, Extremism and Counterterrorism. – BERITA HARIAN / REUTERS