SEOUL: Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, pada Khamis mempertahankan pengisytiharan undang-undang tentera yang kontroversi sebagai tindakan pentadbiran dan menafikan tuduhan pemberontakan terhadapnya, sambil berikrar untuk berjuang hingga ke saat akhir sama ada berkaitan pendakwaan atau siasatan terhadap pengisytiharan itu.
Dalam ucapan awam yang disiarkan secara langsung, Yoon berkata penghantaran tentera ke Parlimen semasa penguatkuasaan undang-undang tentera bukan satu bentuk pemberontakan, sekali gus menolak desakan untuk meletak jawatan, lapor Agensi Berita Yonhap.
Yoon berkata beliau menggunakan kuasa presiden untuk mengisytiharkan undang-undang tentera bagi “melindungi negara dan menormalkan pentadbiran negara” berdepan pembangkang yang melumpuhkan kerajaan, dengan menyifatkan langkah itu sebagai “keputusan politik yang sangat berhati-hati.”
“Sama ada saya didakwa atau disiasat, saya akan menghadapi semuanya secara adil,” katanya.
Yoon mendakwa pihak pembangkang menyekat pentadbiran kerajaan melalui usaha pendakwaan dan pemotongan belanjawan penting yang dirancang untuk tahun depan, sambil menyifatkannya sebagai “tarian pedang yang penuh kegilaan.”
Selepas pengisytiharan undang-undang tentera, Parlimen meluluskan belanjawan tahun depan berjumlah 673.3 trilion won (US$471.5 bilion) seperti yang diubah oleh parti pembangkang utama, selain usul pendakwaan terhadap ketua juruaudit negara dan pendakwa raya meskipun ditentang Parti Kuasa Rakyat (PPP).
“Parlimen yang dikuasai parti pembangkang utama, telah menjadi raksasa dan merosakkan peraturan Perlembagaan demokrasi bebas,” kata Yoon.
Parti Demokratik, pembangkang utama, menguasai 171 daripada 300 kerusi parlimen.
Yoon mendedahkan bahawa beliau telah mengarahkan bekas Ketua Pertahanan, Kim Yong-hyun, untuk menyemak sistem pengundian Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan, dengan membangkitkan persoalan mengenai kredibiliti badan itu selepas didakwa mengalami serangan siber oleh penggodam Korea Utara.
“Saya akan berjuang hingga ke saat akhir bersama anda,” katanya sambil memohon maaf atas kesulitan yang timbul akibat penguatkuasaan singkat undang-undang tentera itu.
Isu utama tuduhan adalah sama ada Yoon melakukan pemberontakan dengan mengerahkan tentera bersenjata ke Dewan Negara bagi menghalang undian yang bertujuan membatalkan pengisytiharan undang-undang tentera itu.
Yoon mendakwa bahawa beliau hanya mengarahkan “sebilangan kecil” tentera tidak bersenjata ke parlimen untuk “mengekalkan ketenteraman,” dan mereka segera ditarik balik selepas Dewan Negara meluluskan resolusi untuk menamatkannya.
Hampir 200 tentera bersenjata telah dikerahkan ke Parlimen pada Selasa lepas, sementara kira-kira 300 lagi dihantar ke tiga fasiliti berkaitan pengawasan pilihan raya sepanjang tempoh penguatkuasaan undang-undang tentera yang berlangsung kira-kira enam jam.
Di bawah undang-undang, pemberontakan ditakrifkan sebagai sebarang cubaan untuk “menumbangkan organ kerajaan yang ditubuhkan oleh Perlembagaan atau melumpuhkan fungsinya melalui penggunaan kekerasan.”
Penampilan awam Yoon yang pertama dalam tempoh lima hari, dibuat ketika blok pembangkang berusaha mengadakan undian Sabtu ini untuk mendakwa beliau atas pengisytiharan undang-undang tentera yang singkat itu. –BERNAMA-YONHAP
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.