Tumpuan :
Dunia

Yagi terus tagih nyawa, angka korban meningkat

FOTO: Reuters

HA LONG: Angka korban akibat Taufan Yagi yang melanda Vietnam terus meningkat, menjadikan jumlah mangsa yang maut kini sembilan orang.

Pihak berkuasa negara itu yang menyifatkan ia sebagai Taufan ‘Super’ Yagi memusnahkan bangunan, menenggelamkan bot dan menyebabkan tanah runtuh di beberapa kawasan.

Menurut media kerajaan, VnExpress dalam kejadian awal pagi tadi, empat sekeluarga maut dalam kejadian tanah runtuh di wilayah pergunungan Hoa Binh di utara Vietnam.

Memetik pihak berkuasa tempatan, gelinciran tanah berlaku pada tengah malam rentetan hujan lebat berterusan beberapa jam yang dibawa oleh Yagi.

Ia sekaligus menyebabkan tanah di lereng bukit runtuh menimpa sebuah rumah.

Pemilik rumah berusia 51 tahun berjaya menyelamatkan diri, namun isteri, anak perempuan dan dua cucunya tertimbus.

Mayat semua mangsa ditemui tidak lama kemudian.

Yagi mendarat di utara Vietnam dengan kelajuan angin melebihi 149 kilometer sejam (km/j), memusnahkan infrastruktur dan menumbangkan pokok.

Terdahulu ia meragut empat nyawa semalam, dan seorang lelaki di wilayah Hai Duong pada Jumaat apabila angin kencang menumbangkan sebatang pokok.

Bencana menyebabkan beberapa kawasan di bandar pelabuhan Hai Phong dinaiki air pada ketinggian setengah meter, selain bekalan elektrik terputus dan tiang elektrik rosak dan tumbang.

Sebelum Vietnam, Yagi melanda selatan China dan Filipina, mengorbankan sekurang-kurangnya 24 nyawa dan mencederakan puluhan mangsa.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini