Tumpuan :
Dunia

Wilayah selatan Thailand ambil langkah waspada hadapi banjir berpanjangan

Foto: REUTERS

BANGKOK: Empat belas wilayah di selatan Thailand sudah diberi amaran untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan banjir kilat, limpahan air, dan banjir berpanjangan antara esok hingga Khamis ini.

Dalam satu kenyataan, Jabatan Pencegahan dan Pengurusan Bencana (DDPM) menyatakan bahawa berdasarkan data Jabatan Meteorologi, satu sistem tekanan rendah di Laut China Selatan dijangka bergerak merentasi Teluk Thailand dan selatan Thailand ke Laut Andaman yang lebih rendah.

Wilayah yang terbabit adalah Chumphon, Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Songkhla, Pattani, Yala, Narathiwat, Ranong, Phang Nga, Phuket, Krabi, Trang, dan Satun.

Berikutan perkembangan ini, DDPM berkata pihak berkuasa telah diarahkan untuk memantau keadaan cuaca, paras air dan trend hujan dengan teliti bagi memastikan respons yang tepat pada masanya.

DDPM juga memaklumkan bahawa Pusat Pengurusan dan Pencegahan Bencana telah mengarahkan pusat-pusat wilayahnya di Surat Thani, Songkhla, dan Phuket untuk kekal berwaspada dan siap sedia memberikan bantuan.

Pada Ahad, DDPM melaporkan bahawa banjir yang sedang berlaku telah meragut 12 nyawa, menjejaskan 78 daerah, 508 daerah kecil, 3,387 kampung, dan 617,386 isi rumah di tujuh wilayah selatan -Nakhon Si Thammarat, Phatthalung, Satun, Songkhla, Pattani, Yala, dan Narathiwat.

Timbalan Jurucakap Kerajaan Anukool Pruksanusak dalam satu kenyataan berasingan memberi jaminan kepada petani di wilayah selatan bahawa kerajaan komited sepenuhnya untuk memberikan bantuan.

Beliau berkata, Kementerian Pertanian dan Koperasi telah mengarahkan unit-unitnya untuk segera menilai kerosakan dan mempercepatkan usaha bantuan bagi meringankan beban yang ditanggung oleh petani yang terjejas.

Jabatan Pembangunan Ternakan juga telah melaksanakan langkah-langkah bantuan kecemasan bagi ternakan mengikut peraturan Kementerian Kewangan 2021 untuk menyokong petani yang pendapatan mereka terjejas teruk, katanya. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini