WASHINGTON: Pengarah eksekutif Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (WFP), Cindy McCain mengkritik kaedah pemeriksaan yang terlalu ketat ke atas trak di persimpangan Rafah dari Mesir ke Gaza sehingga memperlahankan aliran bantuan kemanusiaan.
Pintu sempadan Rafah menjadi titik utama penyampaian bantuan sejak Israel melakukan ‘kepungan menyeluruh’ ke atas Gaza pada 7 Oktober.
Amerika Syarikat mengetuai rundingan dengan Israel, Mesir dan PBB untuk cuba mewujudkan mekanisme penyampaian yang berterusan bagi bantuan kepada Gaza.
McCain berkata, pihaknya hanya dapat membawa masuk sebilangan kecil trak sedangkan terdapat keperluan kemanusiaan yang besar.
Katanya, WFP memerlukan akses selamat dan tidak dikawal ke Gaza agar dapat menyalur makanan dan memastikan orang ramai tidak mati kebuluran.
Meskipun terdapat beberapa penghantaran makanan, air dan ubat-ubatan yang terhad sejak Sabtu, bahan api tidak dibenarkan masuk.
Alasan Israel, bimbang penghantaran bahan api akan dimanipulasi oleh Hamas.
Tiga trak WFP membawa kira-kira 60 tan makanan hanya cukup untuk 200,000 orang sehari memasuki Gaza pada Sabtu.
Dalam pada itu, setiap trak perlu menurunkan muatan di pusat pemeriksaan untuk diperiksa, sebelum dimuatkan semula sejurus selesai pemeriksaan ketat.
McCain turut melabel birokrasi itu sebagai satu kegilaan walaupun memahami keperluan pemeriksaan.
Tambah McCain lagi, WFP perlu mengumpul AS$100 juta untuk memberi makan kepada lebih sejuta orang di Gaza hingga akhir tahun ini.