GENEVA: Pertubuhan Makanan Dunia (WFP) memberi amaran krisis makanan mendesak di Selatan Afrika membabitkan jutaan penduduk.
WFP dalam satu kenyataan juga berkata badan itu mempunyai masalah untuk menampung keperluan bantuan makanan susulan kekurangan dana.
Pegawai komunikasi WFP untuk Selatan Afrika, Tomson Phiri berkata, lebih daripada 20 juta orang terjejas disebabkan kemarau teruk, yang dikaitkan dengan fenomena El Nino.
Lebih membimbangkan, beliau mendedahkan negara-negara seperti Lesotho, Malawi, Namibia, Zambia, dan Zimbabwe telah mengisytihar darurat bencana akibat krisis kemarau.
“Sekitar 21 juta kanak-kanak di Selatan Afrika mengalami malnutrisi. Bagi banyak komuniti, ini adalah krisis makanan terburuk dalam beberapa dekad,” katanya.
“Oktober menandakan awal musim yang sukar dan setiap bulan dijangka akan lebih teruk hingga hasil tuaian seterusnya pada Mac dan April tahun depan,” tambahnya.
Agensi itu katanya, merancang untuk membawa pengagihan makanan dan bantuan tunai kepada lebih 6.5 juta orang di tujuh negara paling teruk terjejas.
Bagaimanapun, WFP berkata ia hanya menerima kira-kira satu perlima daripada AS$369 juta (338.36 juta Euro) yang dicarinya.
Dengan ancaman kelaparan yang semakin meningkat, WFP, katanya, menggesa tindakan segera daripada masyarakat antarabangsa untuk menyokong usaha bantuan dan memastikan makanan dapat sampai kepada mereka yang memerlukan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.