Tumpuan :
Dunia

Watak Young-Hee dalam Squid Game ilham daripada anak perempuan pereka

FOTO: Reuters

SEOUL: Walaupun musim kedua Squid Game mempunyai ‘plot twist’ baharu, satu elemen dalam siri megahit Netflix kekal berterusan.

Young-hee, anak patung robot yang kelihatan tidak bersalah sebenarnya mempunyai peranan maut dalam siri televisyen buatan Korea Selatan dalam permainan “Red Light, Green Light”.

Young-hee, yang memakai gaun oren ringkas dan klip rambut, telah menjadi meme tular di media sosial dan menjadi tumpuan kempen promosi gergasi penstriman itu.

Pereka pengeluaran untuk Squid Game, Chae Kyoung-sun berkata, penampilan anak patung itu sebahagiannya telah diilhamkan oleh anak perempuannya sendiri.

“Anak perempuan saya menggayakan potongan rambut ala mangkuk untuk masa yang lama dan ia sangat comel. Jadi saya memutuskan untuk membiarkan rambut bahagian depan yang sangat pendek,” kata Chae kepada Reuters.

“Dia adalah mesin pembunuh dan pergerakan matanya harus mudah dilihat, jadi kami membuat matanya agak besar.”

Musim pertama Squid Game menjadi rancangan yang paling banyak ditonton di platform penstriman dan musim kedua dijangka meniru kejayaan itu.

Menurut Netflix, musim baharu, yang dikeluarkan pada 26 Disember lalu, turut memecahkan rekod sebagai rancangan paling banyak ditonton dalam minggu tayangan perdananya di platform penstriman, dengan 68 juta tontonan.

Gergasi penstriman itu berkata, ia memperoleh rekod 18.9 juta pelanggan pada suku keempat sebahagiannya disumbangkan oleh musim kedua Squid Game.

Pada 2023, Netflix mengumumkan pelaburan $2.5 bilion di Korea Selatan untuk menghasilkan siri TV Korea, filem dan rancangan tanpa skrip.

Pada penghujung musim kedua, penonton juga dapat melihat Chul-su, anak patung lelaki yang akan muncul pada musim berikutnya bersama Young-hee.

Musim ketiga dan terakhir Squid Game ditetapkan untuk ditayangkan pada akhir tahun ini. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini