LONDON: Wartawan dua akhbar nasional UK akan melancarkan mogok selama 48 jam pada Rabu sebagai bantahan terhadap cadangan penjualan satu daripada akhbar itu, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Ahli Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) di akhbar Guardian dan Observer akan melakukan mogok buat kali pertama dalam tempoh lebih 50 tahun.
Mereka membantah cadangan penjualan akhbar Observer kepada Tortoise Media.
Wartawan akan melakukan barisan piket di luar ibu pejabat Guardian dan Observer di London.
Kesatuan itu menyatakan yang mogok itu jatuh pada ulang tahun ke-233 Observer – akhbar Ahad tertua di dunia – sejak penerbitan pertamanya.
Setiausaha Agung NUJ yang bakal dilantik, Laura Davison berkata: “Ahli Guardian dan Observer mendapat sokongan penuh daripada NUJ ketika mereka melaksanakan tindakan industri yang signifikan ini – yang pertama dalam tempoh lebih 50 tahun.”
“Keputusan besar untuk mengambil langkah ini mencerminkan keinginan wartawan untuk menonjolkan secara terbuka kepada pembaca dan pihak pengurusan tentang kebimbangan kolektif mereka mengenai masa depan akhbar itu. Observer mempunyai kedudukan yang unik dan penting dalam kehidupan awam dan ahli kami amat prihatin terhadap bab seterusnya dalam sejarahnya.”
“Kesatuan menyeru agar rundingan eksklusif itu dihentikan sementara bagi memberikan lebih masa untuk mempertimbangkan alternatif dan memastikan keputusan yang dibuat adalah demi kepentingan terbaik kedua-dua akhbar itu.”
Menjelang hari pertama mogok, penyampai televisyen mengenai hidupan liar dan aktivis pemuliharaan, Chris Packham, mengeluarkan video sokongan di media sosialnya dan memuat naik: “Saya rasa kita tidak sepatutnya meletakkan harga pada kebenaran. Sukar untuk menemuinya pada masa ini. Namun, kita masih dapat menemuinya dalam Observer dan Guardian.”
“Terdapat usaha untuk menjual Observer yang mungkin mengancam masa depannya. Ini bukan sesuatu yang baik, sebab itulah saya bersolidariti bersama wartawan yang sedang mogok.”
Jurucakap Guardian berkata ketika mogok mula diumumkan: “Kami mengakui keprihatinan yang mendalam terhadap cadangan penjualan Observer dan menghargai usaha ahli NUJ untuk menyuarakan pandangan mereka.
“Walaupun kami menghormati hak untuk mogok, kami tidak percaya mogok adalah tindakan terbaik dalam kes ini dan perbincangan kami dengan NUJ terus berjalan.”
“Keutamaan kami adalah untuk memberikan perkhidmatan terbaik kepada pembaca kami dan sokongan padu kepada petugas kami, agar Guardian dan Observer dapat terus memperjuangkan kewartawanan liberal serta berkembang maju dalam landskap media yang mencabar.”
— BERNAMA-dpa
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.