Tumpuan :
Dunia

Warga Bangladesh keluar mengundi hari ini, Hasina dijangka terus memimpin

Warga Bangladesh keluar mengundi hari ini. -Foto: Reuters

DHAKA: Pilihan raya umum (PRU) Bangladesh yang berlangsung hari ini dijangka menjamin Perdana Menteri, Sheikh Hasina memegang jawatan bagi penggal keempat baginya dan kelima bagi Liga Awami.

Ini selepas semua parti pembangkang, termasuk Parti Nasionalis Bangladesh (BNP) bertindak memboikot PRU kali ini.

Tindakan nekad itu diambil susulan sebahagian besar pemimpin dan calon parti pembangkang kini ditahan, sekali gus menolak mengambil bahagian dalam apa yang disifatkan sebagai pilihan raya palsu.

Justeru, parti Hasina hampir tiada saingan bagi kerusi yang ditandinginya tetapi mengelak daripada meletakkan calon di beberapa kerusi, satu usaha nyata untuk mengelak badan perundangan di label sebagai institusi satu parti.

Pegawai Pilihan Raya membuat persiapan sebelum mengagihkan kertas dan peti undi ke pusat pengundian di Dhaka. – Foto: Reuters

Bagaimanapun, beberapa pengundi berkata, mereka diancam dengan rampasan kad faedah kerajaan yang diperlukan untuk mengakses bayaran kebajikan, jika mereka enggan membuang undi untuk Liga Awami yang memerintah.

Sebelum PRU berlangsung, BNP dan parti pembangkang lain mengadakan protes selama berbulan-bulan tahun lalu menuntut Hasina berundur sebelum pengundian.

Ketika pentadbirannya, Hasina meramalkan pertumbuhan ekonomi yang luar biasa di negara yang dilanda kemiskinan teruk, tetapi kerajaannya dituduh melakukan pencabulan hak asasi manusia dan tindakan keras yang kejam terhadap pembangkang.

Politik di negara kelapan paling ramai penduduk di dunia (170 juta) itu sekian lama dikuasai oleh persaingan antara Hasina, 76, anak perempuan pemimpin pengasas negara itu dan perdana menteri dua kali Khaleda Zia, 78, isteri kepada bekas pemerintah tentera.

Zia yang disabitkan dengan rasuah pada 2018, kini dalam keadaan tenat di sebuah hospital di ibu negara Dhaka, dengan anaknya Tarique Rahman, mengetuai BNP sebagai penggantinya, selepas pulang dari buangan di London.

Hampir 2,000 calon akan bertanding merebut 300 kerusi parlimen, dengan 5.1% terdiri daripada calon wanita, rekod tertinggi setakat ini.-AGENSI

Loading...
Terkini