GAZA: Diilhamkan daripada minat terhadap kucing, Naeema Mea’bed membuka ‘Kafe Kucing MEOW’ di Semenanjung Gaza, dengan harapan dapat membawa kegembiraan kepada pencinta kucing sambil meningkatkan kesedaran mengenai pemeliharaan haiwan yang semakin popular di wilayah itu.
Kafe yang pertama seumpamanya di Gaza yang bertemakan kucing sepenuhnya, dengan 14 ekor kucing yang dijaga sedia untuk melayan tetamu yang datang.
Kafe berkenaan menjadi perhatian penduduk setempat pada setiap hujung minggu, dengan ibu bapa akan membawa anak-anak mereka bermain dengan haiwan manja itu.
“Idea itu datang daripada minat saya ketika zaman kanak-kanak terhadap kucing dan saya mahu berkongsinya dengan orang ramai,” kata Mea’bed.
Tambahnya, kucing adalah adalah ‘anti-tekanan semula jadi’.
“Ramai yang suka kucing tetapi mereka tidak tahu di mana untuk menyimpannya atau bermain dengan mereka. Jadi saya membuka tempat ini untuk mereka. Di sini tetamu boleh menghilangkan tekanan,” katanya.
Kebanyakan kucing yang dijaga adalah daripada baka Parsi, tetapi terdapat juga Turkish Angora dan hibrid.
Bagi Hala Abu Maghaseeb, 14, yang belum dapat meyakinkan ibu bapa untuk menjaga kucing di rumah, kafe berkenaan adalah pilihannya untuk bermain dengan haiwan itu semasa cuti sekolah.
“Ia projek yang bagus, saya datang untuk melepaskan tekanan. Saya suka kucing,” katanya.
Usaha itu bagaimanapun mendapat kritikan sebilangan penduduk Gaza yang mempersoal projek berkenaan yang menyatakan ramai lagi penduduk miskin yang memerlukan perhatian.
Tetapi penaung kafe Rewa Abdel-Hadi, 20, mempertahankannya.
“Kucing adalah makhluk yang tinggal bersama kita dan berasa takut dan kelaparan. Menjaga dan memberi perhatian kepada kucing-kucing ini juga adalah idea yang bagus,” katanya. – REUTERS