Tumpuan :
Dunia

Wabak selesema burung merebak di Norway, Finland

COPENHAGEN: Norway dan Finland menghadapi ancaman terburuk wabak selesema burung tahun ini, yang mengakibatkan kematian ribuan ribu burung camar dan spesies lain.

Ia secara langsung meningkatkan risiko kepada ternakan dan mengehadkan perjalanan di beberapa kawasan.

Avian influenza’ atau selesema burung dikesan merebak ke seluruh Eropah sejak beberapa tahun lalu dan menyebabkan pemusnahan jutaan burung di ladang di Perancis pada Mei serta Jun lalu selain menjejaskan bekalan daging dan telur ayam.

Pegawai di bandar Artik Vadso, di daerah Finnmark, Norway, berkata mereka mengumpul lebih 10,000 bangkai burung di kawasan itu dan Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Norway, semalam mengenakan larangan perjalanan meliputi tiga rizab alam semula jadi.

Strain virus H5N1 dikesan merebak di kalangan ayam itik dan burung liar selama bertahun-tahun namun terdapat wabak berkala yang dilaporkan di seluruh dunia dalam kalangan mamalia seperti kucing, cerpelai dan memerang.

Finland juga dilaporkan berkata, burung liar teruk dijangkiti dan strain H5N1 kini ditemui di 20 ladang cerpelai, meningkat daripada 12 awal minggu ini.

Tiga agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bulan ini memberi amaran bahawa wabak global itu menimbulkan kebimbangan virus itu mungkin lebih mudah menjangkiti manusia, dan menggesa dunia untuk memperkukuh pengawasan penyakit dan meningkatkan kebersihan di ladang ayam.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pula berkata, risiko kepada manusia daripada H5N1 kekal rendah, tetapi laporan jangkitan pada mamalia perlu dipantau dengan teliti.

Loading...
Terkini