CHICAGO: Jangkitan wabak selesema burung pada ternakan di Georgia, Amerika Syarikat, yang juga negeri pengeluar ayam terbesar A.S., bakal mencetus sekatan perdagangan daripada pengimport daging utama.
Amaran itu, sekali gus membangkitkan kesan serius dari segi kewangan terhadap petani dan pengeluar.
Sekumpulan 45,500 ayam diuji positif minggu lalu di Elbert County, Georgia, berhampiran sempadan Carolina Selatan, menurut Jabatan Pertanian A.S. (USDA).
Ia adalah kes pertama yang disahkan di negeri itu dalam operasi ternakan ayam komersial, menurut Jabatan Pertanian Georgia.
Kes itu berlaku ketika pengeluar makanan bimbang ancaman Presiden Donald Trump untuk mengenakan tarif ke atas barangan daripada rakan dagangan, seperti China dan Mexico, berupaya membawa kepada tindakan balas yang boleh menjejaskan eksport pertanian AS.
Wabak bagi kategori komersial itu biasanya mencetuskan sekatan perdagangan ke atas produk ayam dari daerah atau negeri di mana ladang yang dijangkiti itu berada.
Menurut Majlis Eksport Ayam & Telur A.S., kerugian awal untuk eksport mungkin sekitar AS$34 juta (RM152.4 juta).
Mexico, pengimport terbesar produk ayam A.S., mungkin akan menghentikan pembelian dari Georgia selama kira-kira dua hingga empat minggu, sehingga larangan sekatan itu disemak semula, menurut kumpulan industri itu.
Susulan itu, Korea Selatan mungkin akan mengenakan larangan ke atas ayam Georgia, yang harus ditarik balik 28 hari selepas virus itu dihapuskan, satu proses yang mungkin akan mengambil masa tiga hingga empat bulan.
USDA bagaimanapun tidak memberi ulasan mengenai potensi sekatan perdagangan.
Lebih 138 juta ayam A.S., mati akibat selesema burung sejak 2022.
Kira-kira 930 ternakan tenusu dan 67 orang, kebanyakannya pekerja ladang, diuji positif sejak 2024.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.