Oleh: Fahmi Tajuddin
KUALA LUMPUR: Pada 26 Disember 2004, jam 07:58 pagi waktu tempatan, gempa bumi berukuran 9.1–9.3 skala Richter melanda dasar laut berhampiran pantai barat utara Sumatera, Indonesia. Gempa ini berpusat di kedalaman 30 km di kawasan Indo-Australia dan Eurasia, mencetuskan tsunami dahsyat.
Tsunami badai Aceh
Aceh menjadi kawasan pertama yang menerima impak tsunami, dengan ombak setinggi 30 meter membadai Banda Aceh dan kawasan sekitarnya antara 08:15 pagi hingga 08:30 pagi waktu tempatan. Ribuan nyawa terkorban dalam sekelip mata, manakala infrastruktur musnah sepenuhnya.
Tsunami sampai ke beberapa negara lain
Pantai barat Thailand, termasuk Phuket, Krabi, dan Phi Phi Islands, turut dilanda tsunami. Ketiadaan sistem amaran menyebabkan pelancong dan penduduk tidak sempat menyelamatkan diri.
Malaysia turut menerima kesan besar apabila 68 nyawa terkorban, ribuan kehilangan tempat tinggal, dan sumber pendapatan musnah sekelip mata.
Beberapa kawasan seperti Tanjung Tokong, Gurney Drive, Batu Feringgi dan Balik Pulau dibadai bencana itu akibat gempa bumi yang terlebih dahulu ‘menggoncang’ Aceh.
52 kematian direkodkan di Pulau Pinang termasuk 37 mangsa yang sedang berkelah di Pantai Miami, Batu Feringgi.
Di Sri Lanka, bandar seperti Batticaloa dan Galle musnah, mengorbankan hampir 35,000 nyawa lantas mencatatkan jumlah kematian kedua tertinggi selepas Indonesia.
Petang 26 Disember, tsunami melintasi Lautan Hindi dan melanda Somalia, Kenya, serta Tanzania. Ombak setinggi 9 meter menyebabkan kematian dan kerosakan besar di kawasan pantai, meskipun jaraknya ribuan kilometer dari pusat gempa.
Bantuan kemanusiaan dimulakan
Pada 27 Disember, misi bantuan kemanusiaan global digerakkan. Negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, dan Australia menghantar bantuan segera. Organisasi antarabangsa menyediakan makanan, perubatan, dan tempat perlindungan untuk mangsa.
Tragedi itu membawa kepada pemasangan sistem amaran tsunami di Lautan Hindi pada tahun 2006. Pendidikan awam dan latihan pemindahan kecemasan diperkenalkan di kawasan-kawasan berisiko tinggi sebagai langkah pencegahan.
Bencana itu meragut lebih 230,000 nyawa di 14 negara dan menyebabkan lebih 1.7 juta orang kehilangan tempat tinggal. Tragedi ini bukan sahaja mencetuskan kerugian besar tetapi juga menonjolkan solidariti global dalam menangani bencana alam yang tidak terduga.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.