comscore
Tumpuan :
Dunia

Veto AS adalah ‘lampu hijau’ tindakan genosid oleh Israel – Majed Bamya

Wakil Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Majed Bamya

NEW YORK: Wakil Palestin ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Majed Bamya, mengkritik tindakan Amerika Syarikat (AS) yang memveto resolusi gencatan senjata di Semenanjung Gaza, menyifatkannya sebagai tiada justifikasi untuk menghalang usaha menghentikan apa yang digambarkan sebagai genosid oleh Israel.

“Israel akan sentiasa mendakwa syarat tidak dipenuhi kerana rancangannya memerlukan perang ini diteruskan, untuk mengilhak tanah dan memusnahkan rakyat,” kata Bamya di persidangan Majlis Keselamatan PBB.

Majed menyifatkan serangan Israel sebagai usaha untuk melenyapkan sebuah bangsa dan menekankan bahawa perdebatan mengenai genosid ini telah berlarutan selama 14 bulan.

Beliau menegaskan tiada alasan untuk memveto resolusi yang bertujuan menghentikan proses tersebut.

Beliau menyeru gencatan senjata tanpa syarat untuk menyelamatkan nyawa rakyat Palestin sebagai langkah awal dalam menyelesaikan konflik.

“Resolusi ini bukan mesej bahaya. Sebaliknya, (kuasa) veto ini adalah mesej kepada Israel bahawa ia boleh terus melaksanakan rancangannya, iaitu rancangan yang ditentang,” katanya.

Majed turut menyelar tindakan AS yang menyokong perang yang membunuh, mencederakan, menakutkan, dan menghancurkan sebuah bangsa.

“Bilakah cukup itu adalah cukup?” Soalnya sambil menggesa masyarakat antarabangsa untuk menyokong kehidupan, kebebasan, dan keamanan serta menolak pembunuhan orang awam sebagai alat politik.

AS pada Rabu memveto draf resolusi Majlis Keselamatan PBB yang menyeru gencatan senjata segera, tanpa syarat, dan kekal di Gaza. Resolusi itu juga menggesa tindakan untuk mengelakkan kebuluran rakyat Palestin.

Ini merupakan kali keempat AS memveto resolusi berkaitan Gaza sejak Oktober 2023, dengan veto sebelumnya dilakukan pada Disember 2023 dan Februari 2024.

Israel melancarkan perang besar-besaran di Gaza selepas serangan oleh Hamas tahun lalu.

Genosid yang memasuki tahun kedua ini semakin mendapat perhatian antarabangsa, dengan pelbagai pihak menyifatkan tindakan Israel sebagai usaha sistematik untuk memusnahkan Palestin secara menyeluruh.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini