CARACAS: Venezuela pada Selasa menolak rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Perwakilan Amerika Syarikat (AS) untuk memperhebatkan sekatan terhadap negara Amerika Selatan itu, lapor Xinhua.
“Instrumen ini bertujuan untuk menghalang hubungan ekonomi dan kerjasama antara Venezuela dan AS dalam pelbagai bidang … yang jelas bertentangan dengan Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB),” kata Kementerian Luar Negeri Venezuela dalam satu kenyataan.
Rang undang-undang itu menambah lebih daripada 930 “langkah paksaan unilateral” atau sekatan, yang telah dikenakan oleh Washington, kata kementerian itu sambil menuduh segmen pembangkang politik Venezuela mempromosikan kelulusan rang undang-undang itu.
“Serangan baharu ini pasti akan gagal, seperti semua percubaan tidak masuk akal yang telah mereka lakukan terhadap kerajaan AS,” kata kementerian itu.
Kementerian itu turut menyatakan bahawa adalah satu “kesalahan” rang undang-undang itu dipanggil “Banning Operations and Leases with the Illegitimate Venezuelan Authoritarian Regime”, supaya ia dikenali dengan akronimnya sebagai Akta BOLIVAR, nama yang sama dengan wira negara Venezuela, Simon Bolivar.
Bolivar “mendedikasikan hidupnya untuk mengalahkan imperialisme dan kolonialisme, bertentangan dengan nilai-nilai yang terkandung dalam serangan jenayah baharu ini”.
Venezuela menyeru PBB dan masyarakat antarabangsa untuk “mengutuk tindakan haram ini dan pencabulan kedaulatan negara”.
Dewan Perwakilan AS meluluskan rang undang-undang itu dengan sokongan dwipartisan kedua-dua penggubal undang-undang Republikan dan Demokrat, dan ia kini diserahkan kepada Senat untuk dipertimbangkan.
— BERNAMA-XINHUA
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.