Oleh: Zahir Senapiah
JOHOR BAHRU: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersedia membantu pelajar baharu yang kurang berkemampuan ketika proses pendaftaran masuk ke universiti berkenaan bermula pada 28 September ini.
Naib Canselor UTM, Datuk Dr Ahmad Fauzi Ismail berkata, seramai 3,508 pelajar baharu akan mendaftar masuk ke Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bagi pengajian Sarjana Muda Sepenuh Masa untuk sesi akademik 2024/2025 yang bermula pada 28 September 2024 disediakan pelbagai inisiatif lain.
“Berdasarkan unjuran daripada Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar IPTA (BPKP IPTA) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), seramai 1,160 pelajar baharu yang akan memasuki UTM bagi sesi akademik 2024/2025 adalah daripada keluarga B40,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Justeru UTM menyediakan pelbagai inisiatif bagi memastikan pelajar yang layak secara akademik dapat mengakses pendidikan tinggi.
“Melalui Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), pelbagai skim bantuan kewangan dan kebajikan telah disediakan, termasuk bantuan sara hidup serta bantuan zakat untuk pelajar yang layak.
Ujarnya, UTM melalui Jabatan Timbalan Naib Canselor juga turut menyediakan bantuan kewangan menerusi pelbagai tabung Endowmen, Biasiswa dan Wakaf.
Sementara itu, di Batu Pahat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengambil langkah yang sama menawarkan pelbagai bentuk bantuan termasuk pemberian zakat dan pinjaman tanpa faedah kepada pelajar yang tidak berkemampuan bagi membantu mereka menyambung pengajian.
Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Dr Ruzairi Abdul Rahim berkata, UTHM amat mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan pelajarnya.
“Pihak universiti sebelum ini ada menawarkan 11 produk kebajikan pelajar antaranya Tabung Zakat Pelajar, Tabung Pinjaman Pelajar, Dana Wang Ihsan serta program bantuan makanan Sabil Al-Hikmah dan Food Bank Siswa bagi mengurangkan beban sara hidup mereka sepanjang tempoh pengajian.
“Bagi kesejahteraan pelajar, UTHM turut menawarkan beberapa bantuan lain seperti Skim Bantuan Mahasiswa OKU, Insurans Berkelompok Pelajar, Skim Bantuan Mahasiswa Orang Asli, Skim Pelajar Bekerja, Surat Jaminan Hospital dan Khairat Kematian,” katanya.
Jelas beliau, UTHM ada menyediakan Tabung Pinjaman Pelajar tanpa faedah bagi membantu pelajar yang perlu menjelaskan yuran pengajian masing-masing.
“Bantuan zakat pula diberikan kepada pelajar asnaf termasuk fakir, miskin dan fisabilillah bagi membantu mereka menampung kos sara hidup dan menjelaskan yuran pengajian.
“Selain itu, Dana Ihsan seperti bantuan yuran pengajian, sara hidup, bencana alam dan musibah juga turut diberikan kepada golongan pelajar B40 yang mempunyai masalah kewangan sepanjang tempoh pengajian,” ujarnya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.