Tumpuan :
Dunia

Usaha pencarian mayat di Glodok Plaza, Jakarta berdepan kesukaran

Foto: KOMPAS

JAKARTA: Usaha pencarian mayat yang hilang dalam insiden kebakaran di Glodok Plaza, Tamansari, Jakarta Barat berdepan kesukaran susulan runtuhan bangunan.

Pasukan Identifikasi Korban Bencana (DVI) Polis Metro Jaya berkata, situasi ini mencetuskan keadaan bahaya bagi pasukannya.

“Proses pencarian korban terhalang oleh runtuhan. Jika kita masuk, itu sangat berbahaya,” kata Pasukan DVI Polis Metro Jaya, dr. Imam di Jakarta, Ahad.

Menurut beliau, proses pencarian mangsa yang maut akan dipertingkatkan ketika menanti proses pembersihan dari pihak pentadbir bangunan kerana pihaknya perlu mengetahui struktur bangunan dengan lebih terperinci.

Imam berkata, Hospital Polis Kramat Jati masih menunggu data daripada pihak keluarga mangsa. Data dari keluarga tersebut akan diselaraskan dengan mayat-mayat yang ditemui.

Tambah beliau, Pasukan DVI juga telah menerima laporan daripada keluarga mangsa yang hilang.

“Keluarga yang melapor perlu menyediakan dokumen pengesahan. Jika diperlukan, kami akan melakukan tes DNA,” kata Imam.

Sebelum ini, Hospital Polis Kramat Jati memaklumkan berdepan kesulitan dalam melakukan proses mengenal pasti jenazah dalam kebakaran di Gedung Glodok Plaza, Tamansari, Jakarta Barat, disebabkan oleh kondisi mayat yang terbakar dan sukar dikenali secara visual.

Kebakaran di Glodok Plaza dilaporkan tercetus pada tingkat tujuh bangunan pada 15 Januari lalu . – ANTARANEWS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini