comscore
Tumpuan :
Dunia

UNSC bersalah atas sikap ‘double standard’ yang tidak berperikemanusiaan – PM Palestin

FOTO: Reuters

NEW YORK: Perdana Menteri Palestin, Mohammad Mustafa pada Jumaat menyatakan bahawa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) bersalah atas sikap ’berat sebelah’ yang tidak berperikemanusiaan.

Bercakap di hadapan UNSC, Mustafa berkata setahun telah berlalu sejak bermulanya pencerobohan genosid Israel di Gaza, lapor Agensi Berita Palestin (WAFA).

Beliau berkata bahawa setahun juga telah berlalu “untuk sikap ’double standard’ tidak berperikemanusiaan dalam Majlis ini” yang telah menyebabkan kanak-kanak, wanita, warga emas, doktor, wartawan, guru, dan pekerja kemanusiaan Palestin “tanpa sebarang perlindungan, tanpa sebarang sokongan, seolah-olah mereka bukan manusia”.

Menurut perdana menteri, beliau datang ke PBB dan merasakan solidariti dengan rakyatnya serta perjuangan mereka yang adil.

“Tetapi, apabila kami meninggalkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, kami melihat pembunuhan beramai-ramai oleh Israel belum berakhir, dan Majlis Keselamatan sehingga ke hari ini tidak menamatkan pencerobohan Israel, tidak mengambil langkah yang akan memberi tekanan kepada Kerajaan Israel untuk menamatkan perang ini.

“Mereka telah memusnahkan Gaza sepenuhnya. Mereka telah menceroboh bandar-bandar di Tebing Barat. Mereka telah menyerang warga Palestin kami yang tidak bersenjata, dan hari ini kita melihat mereka menyerang rakyat Lubnan. Mereka sedang mencabuli kedaulatan Lubnan,” kata Mustafa.-BERNAMA-WAFA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini