Tumpuan :
Dunia

UNGA: Pemimpin dunia gesa elak perang berskala penuh di Lubnan

Guterres ketika berucap pada Perhimpunan Agung PBB di New York, semalam. – FOTO: Reuters

NEW YORK: Barisan pemimpin dunia di Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) semalam menggesa Israel menahan diri daripada bertindak ke arah perang berskala penuh di Lubnan.

Perhimpunan Agung PBB (UNGA) kali ini menyusul selepas pihak berkuasa Lubnan mengumumkan serangan Israel telah membunuh sekurang-kurang 558 mangsa, termasuk 50 kanak-kanak.

“Perang berskala penuh tidak akan menguntungkan sesiapa. Walaupun situasi kian tegang, penyelesaian diplomatik masih boleh dicapai.

“Malah, ia adalah satu-satunya jalan memperoleh keselamatan berkekalan bagi membolehkan rakyat kedua-dua pihak pulang ke kediaman mereka di kawasan sempadan dengan selamat,” kata Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden, ketika berucap di badan dunia itu menjelang sesi tergempar Majlis Keselamatan PBB berhubung Lubnan yang dijadualkan berlangsung, hari ini.

Bagaimanapun Menteri Luar Lubnan, Abdullah Bou Habib, menzahirkan kekecewaan dengan kenyataan Biden itu yang disifatkan sebagai ‘tidak akan menyelesaikan masalah Lubnan’.

Beliau sekali gus menganggarkan bilangan penduduk Lubnan yang hilang tempat tinggal akibat serangan Israel kini terus melonjak menghampiri angka setengah juta orang.

Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, dalam ucapan perasmiannya pada perhimpunan itu pula menegaskan mereka semua harus cemas dengan peningkatan ketegangan berkenaan.

Malah, Guterres memberi amaran akan kemungkinan Lubnan berubah menjadi ‘sebuah lagi Gaza’, sambil menekankan keadaan di wilayah Palestin itu sebagai ‘mimpi ngeri yang berterusan.’

Semalam, Presiden Palestin, Mahmud Abbas duduk bersama-sama delegasi Palestin yang ditempatkan mengikut susunan abjad pada Perhimpunan Agung itu, untuk kali pertama.

Menteri Luar Britain, David Lammy turut menyuarakan kebimbangan terhadap krisis semakin buruk di Lubnan itu.

“Saya amat khuatir mengenai risiko peningkatan ketegangan itu dan ia merebak menjadi konflik serantau yang lebih meluas,” katanya kepada AFP.

Britain telah mengumumkan kerahan unit ketenteraan ke Cyprus untuk membantu langkah evakuasi rakyatnya di Lubnan.

Namun Duta Israel ke PBB, Danny Danon, berkata Tel Aviv ‘tidak ghairah’ untuk melancarkan serangan darat di Lubnan, buat masa ini.

Setakat ini, masih belum jelas langkah yang boleh meredakan ketegangan di Lubnan, tatkala usaha untuk merealisasikan perjanjian gencatan senjata di Gaza – yang berterusan diserang Israel sejak Oktober 2023 – masih tidak berhasil.

Di PBB semalam, Biden sekali lagi mendesak pelaksanaan gencatan senjata antara Israel dengan Hamas, dan menegaskan bahawa ‘sudah tiba masanya untuk menamatkan peperangan itu.’

Qatar yang bertindak sebagai perantara, menuduh Israel menghalang rundingan gencatan senjata di Gaza, dengan Emir Sheikh Tamim Hamad Al-Thani menekankan ‘tiada rakan Israel untuk keamanan’ bawah kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Namun, beliau berkata, pihaknya akan meneruskan usaha sebagai perantara bagi mencapai penyelesaian secara aman.

Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan pula menuduh Israel mengheret seluruh rantau itu ke dalam kancah peperangan.

“Bukan saja kanak-kanak, malah sistem PBB juga sedang mati di Gaza,” kata Erdogan dalam ucapannya yang pedas pada perhimpunan itu.

Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, membidas kelemahan tindakan PBB terhadap Israel, yang disifatkan sebagai ‘tidak masuk akal dan tidak boleh difahami.’

Raja Jordan, Raja Abdullah II pula menegaskan sebarang tindakan Israel mengusir rakyat Palestin secara paksa ke negaranya adalah ‘jenayah peperangan’. – AGENSI

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini