NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menangguhkan sehingga lewat hari ini sesi undian mengenai draf resolusi yang menggesa agar serangan di Gaza dihentikan untuk membenarkan penghantaran bantuan kemanusiaan tanpa halangan.
Negara-negara anggota belum mencapai kata sepakat mengenai draf resolusi berkenaan yang dijadual diundi pada Isnin, lapor Agensi Anadolu memetik sumber PBB.
Draf itu dirangka oleh Emiriah Arab Bersatu (UAE), menegaskan semula semua pihak yang terlibat dalam konflik mesti mematuhi kewajipan mereka di bawah undang-undang antarabangsa.
Resolusi itu juga meminta agar mekanisme pemantauan PBB dilaksanakan dengan segera.
Draf resolusi itu juga mengutuk semua pelanggaran undang-undang kemanusiaan antarabangsa, termasuk serangan terhadap orang awam serta menyeru pembebasan segera dan tanpa syarat semua tebusan. – BERNAMA-ANADOLU