KYIV: Tentera udara Ukraine mendakwa Russia melancarkan peluru berpandu balistik antara benua dari selatan Astrakhan dalam serangan pada waktu pagi ke negara itu.
Tentera udara Ukraine mendakwa, serangan berkenaan menjadikan Russia kali pertama menggunakan peluru berpandu jarak jauh paling kuat sejak perang tercetus antara dua negara berkenaan.
Serangan itu berlaku selepas Ukraine menggunakan peluru berpandu Amerika Syarikat (AS) dan Britain untuk menyerang sasaran di Russia baru-baru ini.
Russia sebelum ini memberi amaran tindakan itu adalah sebagai satu bentuk serangan yang lebih besar.
Tentera udara Ukraine berkata, serangan Russia itu menyasarkan perusahaan dan infrastruktur kritikal di bandar Dnipro di bahagian tengah-timur Ukraine.
Bagaimanapun, tentera udara Ukraine tidak memperincikan punca serangan berkenaan dilakukan dan tidak menyatakan sama ada serangan berkenaan turut menyebabkan kerosakan di negara itu.
Peluru berpandu berkenaan mempunyai jarak ribuan kilometer dan boleh digunakan untuk membawa kepala peledak nuklear, walaupun ia juga boleh dilengkapi dengan kepala peledak konvensional.
Sistem pertahanan udara Ukraine berjaya menembak jatuh enam peluru berpandu jelajah Kh-101 ketika serangan itu berlaku.
Bagaimanapun, tentera udara Ukraine itu tidak menyatakan jenis peluru berpandu balistik antara benua yang digunakan Russia. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.