![](https://cms.buletintv3.my/wp-content/uploads/2022/08/Template-CMS-8-1-1024x538.jpg)
KYIV : Ibu kota Ukraine, Kyiv membatalkan sambutan memperingati kemerdekaan daripada pemerintahan Soviet minggu ini susulan ancaman serangan Rusia yang semakin meningkat.
Berhampiran barisan hadapan di selatan negara itu, Ukraine berkata, Rusia melancarkan roket ke beberapa bandar di utara dan barat loji janakuasa nuklear terbesar Eropah, yang ditawan oleh tentera Rusia sejurus selepas mereka menyerang Ukraine pada Februari.
Meskipun berada jauh dari barisan hadapan dan jarang menjadi sasaran peluru berpandu Rusia, sambutan berkenaan dikhuatiri merisikokan ramai rakyat Ukraine yang akan berhimpun sekiranya ia diteruskan.
Dalam pada itu di Kharkiv, Datuk Bandar, Ihor Terekhov mengumumkan lanjutan perintah berkurung bermula jam 4 petang hingga 7 pagi berikutan sering berdepan serangan meriam jarak jauh dan tembakan roket.
Manakala, di pelabuhan Mykolaiv, gabenor wilayah Vitaliy Kim pula menggesa penduduk agar sentiasa waspada dan bersedia dengan sebarang kemungkinan berdepan serangan Rusia.
Orang ramai disaran bekerja dari rumah dan tidak berkumpul dalam kelompok besar.