KUALA LUMPUR: Kerajaan United Kingdom mengumumkan bantuan kemanusiaan sebanyak £50 juta (US$63.1 juta) untuk rakyat Syria yang terjejas di seluruh Timur Tengah selepas kejatuhan rejim Bashar al-Assad.
Bantuan kecemasan itu akan disalurkan melalui agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan badan bukan kerajaan kepada penduduk di Syria serta pelarian di Lubnan dan Jordan, menurut Pejabat Luar Negeri UK.
Britain pada Sabtu menyertai rundingan di Aqaba yang dianjurkan oleh Jordan dan dihadiri menteri serta delegasi dari Amerika Syarikat, Perancis, Jerman, Kumpulan Perhubungan Arab, Bahrain, Qatar, Turkiye, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Kesatuan Eropah (EU) dan PBB.
Rundingan itu mencapai persetujuan mengenai pentingnya membentuk kerajaan yang “tidak bersifat sektarian dan inklusif,” melindungi hak asasi manusia, memastikan akses tanpa halangan kepada bantuan kemanusiaan, pemusnahan senjata kimia secara selamat serta memerangi keganasan.
“UK menggesa kerajaan peralihan untuk mematuhi prinsip-prinsip ini demi membina Syria yang lebih aman, selamat dan penuh harapan,” kata Pejabat Luar Negeri pada Ahad.
Sebanyak £120,000 dana UK turut disediakan kepada Pertubuhan Larangan Senjata Kimia (OPCW), menurut jabatan itu.
Sebanyak £30 juta akan disalurkan di Syria untuk penyediaan makanan, tempat perlindungan dan penjagaan kesihatan kecemasan, manakala £10 juta akan disalurkan kepada Program Makanan Dunia (WFP) di Lubnan dan £10 juta lagi kepada WFP serta agensi pelarian PBB, UNHCR, di Jordan.
Langkah ini dibuat seminggu selepas kejatuhan rejim al-Assad susulan serangan pantas oleh kumpulan Hayat Tahrir al-Sham (HTS).
Setiausaha Luar David Lammy berkata: “Kejatuhan rejim [al-]Assad memberikan peluang sekali dalam satu jenerasi untuk rakyat Syria.
“Kami komited untuk menyokong rakyat Syria dalam menentukan masa depan mereka, pertama dengan menyediakan bantuan £50 juta untuk makanan, penjagaan kesihatan dan keperluan kemanusiaan. Kedua, dengan berusaha secara diplomatik untuk membantu mewujudkan tadbir urus yang lebih baik bagi masa depan Syria.
“Hujung minggu ini, UK dan rakan kongsinya telah bersetuju dengan prinsip-prinsip yang diperlukan untuk menyokong proses politik peralihan yang dipimpin oleh rakyat Syria. Adalah penting bagi bakal kerajaan Syria menyatukan semua kumpulan untuk mewujudkan kestabilan dan penghormatan yang sewajarnya untuk rakyat Syria.” – BERNAMA-PA Media/dpa
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.