MOSCOW: Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh dalam serangan pengganas ke atas sebuah sekolah di barat daya Uganda berhampiran sempadan dengan Republik Demokratik Congo (DRC), menurut polis Uganda pada Sabtu, lapor Sputnik.
“Malam tadi, serangan pengganas oleh pemberontak ADF [Pasukan Demokratik Bersekutu] dilaporkan berlaku di sekolah menengah Lhubirira, di Mpondwe, yang terletak kira-kira 2 kilometer, dari sempadan DRC. Sebuah asrama dibakar dan kedai makaan dirompak. Setakat ini 25 mayat telah ditemukan di sekolah itu,” menurut polis dalam ciapan di Twitter.
Lapan mangsa lagi dikejarkan ke hospital dan dilapor dalam keadaan kritikal.
ADF telah ditubuhkan pada 1995 dan aktif di DRC serta di Uganda, dan disenarai sebagai organisasi pengganas.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyalahkan ADF atas pembunuhan ratusan orang awam sejak 2014. – BERNAMA-SPUTNIK