comscore
Tumpuan :
Dunia

UCLA batal kelas, polis ditempatkan di kampus susulan protes perang Israel-Palestin memuncak

Penunjuk perasaan pro-Palestin berkumpul di UCLA ketika konflik antara Israel dan Palestin berterusan. – FOTO: Reuters

LOS ANGELES: Polis menempatkan anggotanya di kampus universiti di Amerika Syarikat (AS) semalam dan menghalau sebahagian individu yang menyertai demonstrasi menentang perang Israel dengan Palestin.

Puluhan kereta polis berkawal di Universiti California, kampus Los Angeles (UCLA) sebagai tindak balas kepada pertempuran ganas semalaman apabila penunjuk perasaan pro-Israel menyerang perkhemahan pro-Palestin.

Akibat pertempuran ganas itu, UCLA sebuah universiti awam terkemuka di AS telah membatalkan semua kelas, semalam.

“Disebabkan kesusahan akibat keganasan yang berlaku di Royce Quad lewat malam tadi dan awal pagi ini, semua kelas dibatalkan hari ini,” kata universiti itu dalam makluman kepada fakulti, kakitangan dan pelajar pada pagi semalam, lapor Xinhua.

Pihak universiti menggesa mereka mengelakkan kawasan Royce Quad dan mengumumkan bahawa Royce Hall, antara bangunan asal dan simbol penentu untuk kampus UCLA, ditutup sehingga esok.

Minggu lalu, penunjuk perasaan pro-Palestin mendirikan khemah berhampiran Dewan Royce sebagai tanda solidariti kepada rakyat Palestin.

Pegawai LAPD berkawal berhampiran perkhemahan pro-Palestin di Universiti California Los Angeles (UCLA), ketika konflik antara Israel dan Palestin berterusan. FOTO: Reuters

Di Universiti Columbia di New York City, yang menjadi pusat demonstrasi, polis bersiap sedia selepas pegawai berarak ke kampus kelmarin untuk menamatkan protes di sana.

Kehadiran pihak polis di dua universiti paling berprestij di AS itu membuatkan beberapa pelajar kecewa.

“Saya tidak fikir kita harus mempunyai pasukan polis yang ramai di kampus,” kata pelajar UCLA Mark Torre, 22.

“Tetapi hari demi hari, saya fikir ia adalah satu kejahatan yang perlu, sekurang-kurangnya menjaga keselamatan di kampus.”

Di Columbia dan di City University of New York, di mana polis menghalau penunjuk perasaan, beberapa pelajar mengecam taktik “kasar dan agresif” yang digunakan oleh pegawai berkenaan.

“Kami diserang, ditahan dengan kejam dan saya ditahan sehingga enam jam sebelum dibebaskan, cukup teruk, dipijak serta mengalami luka,” kata seorang pelajar CUNY yang hanya mahu dikenali sebagai Jose.

Seorang pelajar perubatan yang menawarkan rawatan kepada tahanan pelajar ketika mereka dibebaskan menggambarkan kebanyakan mereka mengalami pelbagai kecederaan.

“Kami melihat terdapat individu yang mengalami kecederaan kepala termasuk gegaran otak, kata pelajar itu, yang memberikan namanya sebagai Isabel.

Kira-kira 300 penahanan dibuat di Columbia dan CUNY, kata Pesuruhjaya Polis Edward Caban pada sidang media semalam.

Datuk Bandar Eric Adams menyalahkan orang luar kerana mencetuskan ketegangan.

Pelajar di Columbia menafikan orang luar terbabit.

Presiden universiti itu Minouche Shafik, yang mendapat kecaman atas keputusannya menghubungi polis, berkata kejadian itu begitu menyedihkan.

“Saya minta maaf kami sampai ke tahap ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini