comscore
Tumpuan :
Dunia

UAE terus terjejas akibat banjir

DUBAI: Banjir yang melanda Emiriah Arab Bersatu (UAE) sejak Selasa lalu masih menjejaskan banyak laluan utama dan ada antaranya masih ditutup.

Pengurusan Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai, kini berusaha menyelesaikan semua penerbangan yang tertangguh.

Operasi di lapangan terbang itu masih terganggu selepas ribut membanjiri landasan, mengakibatkan berlakunya peralihan, kelewatan dan pembatalan penerbangan.

Pihak berkuasa juga giat melakukan kerja pembersihan jalan termasuk di pusat pelancongan utama, selepas banyak laluan masih dibanjiri air.

Dalam kejadian banjir itu, kerosakan turut berlaku pada kediaman dan premis perniagaan.

Hujan yang berlaku dilaporkan paling teruk melanda negara Teluk itu dalam tempoh sejak 75 tahun lalu.

Banjir terdahulu berlaku di Oman sebelum melanda UAE dengan seorang dilaporkan mati di negara itu sehingga kini, manakala 20 maut di Oman akibat bencana berkenaan.

Video yang disiarkan di media sosial menunjukkan pusat beli-belah dibanjiri dengan air yang mengalir dari bumbung manakala banyak penduduk mengalami kerosakan pada kediaman masing-masing.

Trafik juga terganggu apabila laluan lebuh raya melalui Dubai dikurangkan kepada satu lorong, manakala jalan utama yang menghubungkan Dubai dengan Abu Dhabi ditutup.

Di Dubai, beberapa kenderaan, termasuk bas, hampir sepenuhnya tenggelam dalam air.Pekerja kecemasan pula dilaporkan menggunakan trak bomba untuk mengepam air dari jalan yang banjir.

Sementara itu, menurut pengendali lapangan terbang, pihaknya sudah menerima semula penerbangan masuk di Terminal 1, yang digunakan oleh syarikat penerbangan luar.

Menurutnya, seterusnya pendaftaran dibuka di Terminal 3 untuk penerbangan Emirates dan flydubai, tetapi terdapat sebilangan besar penumpang masih menunggu untuk mendaftar masuk.

“Sementara pelancong hanya boleh tiba di terminal jika mereka mempunyai pengesahan keberangkatan dari syarikat penerbangan mereka,” katanya.

Emirates, syarikat penerbangan tunggal terbesar di lapangan terbang, menghentikan semua prosedur daftar masuk pada hari Rabu.

UAE sebelum ini melakukan proses pembenihan awan dan timbul persoalan sama ada langkah itu yang menyebabkan berlakunya hujan lebat sehingga banjir.

Namun, menurut pakar iklim, pemanasan global adalah punca utama di sebalik kejadian cuaca ekstrem itu. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini