Tumpuan :
Dunia

Tutup 3 sempadan bawa risiko kesan lebih dahsyat ke atas Gaza

FOTO: Reuters

HAMILTON: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran penutupan tiga lintasan sempadan Israel yang berlanjutan sejak tiga hari lalu berisiko mencetuskan “kesan dahsyat” ke atas Gaza.

Jurucakap PBB, Stephane Dujarric memetik Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA) berkata, lintasan Kerem Shalom, Zikim dan Erez kekal ditutup bagi kargo untuk hari ketiga berturut-turut.

Pihak berkuasa Israel telah menolak usaha untuk mendapatkan semula bekalan kemanusiaan yang telah melepasi Kerem Shalom sebelum lintasan itu ditutup.

FOTO: Reuters

Beliau menegaskan adalah penting bagi negara anggota dan pihak yang mempunyai pengaruh untuk menggunakan semua cara yang ada bagi memastikan gencatan senjata dikekalkan, sambil memberi amaran kesan dahsyat terhadap penduduk yang baru sahaja mula pulih daripada berbulan-bulan penderitaan dan kebuluran.

Di Tebing Barat, Dujarric mendedahkan operasi ketenteraan Israel di kem pelarian Jenin diperluas ke bahagian timur bandar Jenin, mengakibatkan lebih banyak kematian, kemusnahan dan pemindahan penduduk.

Terbaharu ujarnya, arahan pemindahan Israel di Jenin menyebabkan 30 keluarga hilang tempat tinggal.

Tentera Israel menggunakan jentolak yang merosakkan infrastruktur dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik.

Sekatan akses dan pergerakan keluar masuk bandar turut dipertingkatkan.

Rejim Israel kerap melancarkan serbuan di Tebing Barat yang diduduki, dengan peningkatan ketara sejak serangan ke atas Gaza bermula pada 7 Oktober 2023.

Sekurang-kurangnya 928 penduduk Palestin terbunuh manakala lebih 7,000 cedera akibat serangan Israel di wilayah yang diduduki, menurut Kementerian Kesihatan Palestin.

Pada Julai, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengisytiharkan pendudukan Israel ke atas tanah Palestin sejak beberapa dekad sebagai haram dan menuntut pemindahan semua penempatan sedia ada di Tebing Barat dan Baitulmuqaddis Timur.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini