Tumpuan :
Dunia

Turkiye, White House kecam insiden tembak mati wanita di Tebing Barat

RAMALLAH: Seorang wanita warga Amerika Syarikat berketurunan Turkiye maut dipercayai ditembak tepat di kepala oleh tentera Israel ketika menyertai protes membantah peluasan penempatan haram Yahudi di Tebing Barat.

Menurut Kementerian Luar Turkiye, wanita terbabit, Aysenur Ezgi Eygi yang memegang dua kerakyatan, Amerika Syarikat dan Turkiye, disahkan ditembak oleh tentera Israel berdasarkan penemuan peluru yang digunakan dan menyalahkan rejim pimpinan Benjamin Netanyahu sebagai dalang yang bertanggungjawab ke atas kematian wanita terbabit.

White House dalam pada itu menerusi Jurucakap Majlis Keselamatan Negara, Sean Savett pula menggesa Israel segera memberikan maklum balas atas insiden berkenaan dan melakukan siasatan terperinci mengenainya.

Sementara itu, Israel menerusi kenyataan tenteranya memberi alasan mereka sedang mencari dalang utama yang menganjurkan tunjuk perasaan lalu melepaskan tembakan ke arah sasaran yang ‘dikenal pasti’.

Mereka kemudiannya nafi menjadikan wanita terbabit sebagai sasaran utama.

Agensi berita rasmi Palestin, WAFA memaklumkan tunjuk perasaan terbabit berlaku di Beita, sebuah perkampungan berhampiran Nablus yang sering menjadi sasaran serangan pendatang haram Yahudi.

SUMBER REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini