Tumpuan :
Dunia

Turkiye tahan 282 suspek anggota PKK

FOTO: Reuters

ISTANBUL: Polis Turkiye menahan 282 suspek anggota kumpulan Parti Pekerja Kurdistan (PKK) dalam serbuan yang dilakukan dalam tempoh lima hari terakhir, menurut Menteri Dalam Negeri Ali Yerlikaya pada Selasa.

Serbuan ini dilakukan ketika kerajaan Turkiye meneruskan usaha menyingkir Datuk Bandar pro-Kurdis yang dipilih secara sah kerana didakwa mempunyai kaitan dengan kumpulan terbabit.

Tindakan ini dilakukan di tengah-tengah harapan untuk menamatkan konflik 40 tahun antara PKK dan pihak berkuasa.

Abdullah Ocalan, Pemimpin PKK yang dipenjara dijangka mengeluarkan kenyataan mengenai usaha damai ini, empat bulan selepas seorang sekutu Presiden Tayyip Erdogan menggesa beliau meminta PKK meletakkan senjata.

Serbuan antikeganasan minggu ini dilancarkan di 51 wilayah, termasuk di Ankara dan Istanbul.

Suspek dituduh melakukan propaganda PKK, membiayai kumpulan itu, merekrut anggota serta menyertai protes jalanan. Polis turut merampas dua senjata AK-47 serta senjata lain.

Pada Sabtu, kerajaan Turkiye menggantikan Datuk Bandar Parti DEM pro-Kurdis di wilayah Van kerana kesalahan berkaitan keganasan.

Sejak pilihan raya 2024, kerajaan telah menggantikan lapan datuk bandar DEM dengan pegawai yang dilantik oleh negara.

PKK yang diisytiharkan sebagai kumpulan pengganas oleh Turkiye dan sekutunya di Barat didakwa melancarkan pemberontakan terhadap kerajaan sejak 1984, menyebabkan lebih 40,000 orang terkorban dalam konflik tersebut. REUTERS /ARAB NEWS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini