ANKARA: Turkiye dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sedang mengusahakan cadangan agar Rusia menyambung semula Inisiatif Bijian Laut Hitam, tetapi isu antara lain membabitkan proses perbankan masih belum diatasi, menurut sumber yang terlibat dalam proses rundingan.
Presiden Rusia Vladimir Putin berkata dalam ucapan menerusi video di Forum Perniagaan BRICS pada Selasa bahawa Rusia bersedia untuk kembali kepada Inisiatif Bijirin Laut Hitam jika semua syarat yang dikenakan Moscow “benar-benar dipenuhi”
“Beberapa cadangan daripada pihak kami berhubung dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sedang diusahakan. Belum sempurna, terdapat masalah yang tidak dapat diselesaikan membabitkan isu perbankan. Perbincangan sedang dijalankan,” menurut sumber itu.
Sumber itu juga menyatakan bahawa lawatan Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan dan Menteri Luar Hakan Fidan ke Rusia mungkin memudahkan pemulihan perjanjian bijirin dengan mengambil kira kepentingan semua pihak.
“Kami sangat berharap bahawa kemungkinan lawatan ini akan memberi dorongan kepada proses itu. Dan perbincangan pemimpin Turkiye dan menteri luar negeri (di Rusia) akan menjadi berkesan untuk inisiatif (perjanjian bijirin Laut Hitam), yang kami harap dapat dipulihkan, dengan mengambil kira kepentingan semua pihak,” menurut sumber itu.
Pada Selasa, akhbar Turkiye Yeni Safak melaporkan bahawa Erdogan akan melawat Rusia dalam masa terdekat dan membincangkan perjanjian bijirin dengan Presiden Rusia Vladimir Putin. Fidan dilaporkan akan melawat Rusia dan Ukraine.
Rusia mengumumkan pada Julai bahawa perjanjian eksport bijirin telah berakhir kerana tuntutannya berulang kali diabaikan.
Semasa pemeteraian perjanjian itu pada Jun 2022, Rusia dijanjikan bahawa eksport makanan dan bajanya akan dikecualikan daripada sekatan Barat tetapi tiada sekatan ditarik balik. – BERNAMA-SPUTNIK