ANKARA: Turkiye berkata ia sudah menasihatkan Russia dan Iran supaya tidak campur tangan secara ketenteraan untuk menyokong pasukan Bashar al-Assad yang ditumbangkan pemberontak yang dipimpin oleh pejuang Islam yang menyerang Damsyik baru-baru ini.
“Mesej paling penting adalah untuk berbincang dengan Russia dan Iran bagi memastikan mereka tidak terbabit dalam pertempuran secara ketenteraan.
“Kami telah mengadakan pertemuan dengan mereka dan mereka faham,” kata Menteri Luar Turkiye, Hakan Fidan kepada stesen televisyen swasta NTV.
Beliau berkata sekiranya Moscow dan Tehran, kedua-duanya sekutu utama Assad sejak perang saudara bermula pada 2011, memberikan sokongan kepada presiden Syria itu, pemberontak mungkin masih boleh menang, tetapi hasilnya akan lebih berdarah dan menggunakan kekerasan.
Disyorkan “Jika Assad mendapat sokongan, pihak pembangkang mungkin masih dapat bertahan dengan keteguhan mereka, tetapi ia akan mengambil masa yang lebih lama dan boleh menyebabkan lebih banyak pertumpahan darah.
“Turkiye mengadakan perbincangan khusus dengan dua kuasa besar ini bagi memastikan kehilangan nyawa yang minimum,” kata Fidan.
Apabila pakatan pemberontak yang dipimpin oleh Hayat Tahrir al Sham (HTS) pertama kali melancarkan serangan pada 27 November, Moscow dan Tehran pada mulanya menawarkan sokongan ketenteraan kepada Assad untuk menahan kemaraan pemberontak.
Namun, kejatuhan pasukan Assad dengan begitu pantas mengejutkan mereka.
Ia berlaku pada masa yang sukar bagi kedua-dua negara itu, dengan Russia terperangkap dalam peperangan di Ukraine, sementara proksi Iran termasuk pejuang Hizbullah dari Lubnan menghadapi serangan besar daripada Israel.
Turkiye menyatakan sokongan kepada pemberontak dengan pakar mengatakan bahawa ia memberi ‘lampu hijau’ untuk serangan yang dilancarkan oleh HTS, tanpa terbabit secara langsung.
Banyak negara, terutama di rantau Asia Barat, bimbang mengenai HTS, yang berakar umbi dalam cabang Al-Qaeda di Syria dan diharamkan oleh banyak kerajaan Barat sebagai pertubuhan pengganas.
Namun, Fidan berkata adalah sangat normal untuk memiliki kebimbangan terhadap HTS, yang perlu diselesaikan.
“Tiada siapa yang lebih mengenali mereka selain kami, kami mahu Syria yang bebas daripada keganasan, yang tidak mengancam negara-negara di rantau ini,” jelasnya.
Sejak 2016, Turkiye memiliki pengaruh besar ke atas barat laut Syria, dengan menjalin hubungan kerja dengan HTS yang menguasai kebanyakan wilayah Idlib, iaitu kubu terakhir pembangkang di Syria.
Dengan saluran komunikasi terbuka bersama HTS, Turkiye menyampaikan kebimbangan terbabit terus kepada mereka, kata Fidan.
“Kami menyampaikan kebimbangan rakan-rakan kami kepada mereka dan memastikan mereka mengambil langkah-langkah yang sepatutnya. Mereka telah mengeluarkan banyak kenyataan dan orang ramai melihat bahawa mereka berada di landasan yang betul,” katanya. – AGENSI
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.