BRUSSELS : Turkiye akan mengukuhkan kedudukan Eropah dalam menghadapi pelbagai ancaman, terutamanya menerusi kemas kini Kesatuan Kastam, semasa penggal kedua Presiden Terpilih Amerika Syarikat (AS) Donald Trump, ketika persekitaran strategik Eropah dijangka berdepan cabaran, kata Presiden Majlis Perdagangan dan Pelaburan Turkiye-Eropah (ETTIC) Markus Slevogt kepada Agensi Anadolu (AA).
Slevogt berkata majlis itu akan melibatkan diri dengan negara anggota dan wakil Kesatuan Eropah (EU) untuk memajukan kemas kini Kesatuan Kastam antara Turkiye dan EU sambil meningkatkan komunikasi mengenai perniagaan, perdagangan dan pelaburan.
Menyoroti hubungan perdagangan yang signifikan, beliau menyatakan bahawa lebih US$231.4 bilion dalam perdagangan dua hala tahunan berlaku antara Turkiye dan EU, dengan perniagaan Eropah melabur lebih US$210.4 bilion di Turkiye antara 2002 dan 2023.
Slevogt menegaskan bahawa draf Kesatuan Kastam sedia ada, yang diwujudkan pada 1996, tidak lagi memenuhi keperluan moden. Ia tidak termasuk bidang kritikal seperti e-dagang, perkhidmatan, pertanian dan perolehan awam yang memerlukan kemas kini untuk diselaraskan dengan keperluan abad ke-21.
Beliau berkata Suruhanjaya Eropah akan memulakan penggal lima tahun baharunya pada Disember, sebulan sebelum Trump memegang jawatan di AS, sambil menyatakan bahawa perubahan dalam Suruhanjaya itu memberikan peluang untuk kemajuan.
Slevogt menambah bahawa ETTIC akan menerima pendekatan baharu dengan penggal Suruhanjaya baharu, memfokuskan kepada kemajuan dalam kemas kini Kesatuan Kastam antara Turkiye dan EU.
Beliau menekankan bahawa agenda dasar Trump mungkin memberikan tekanan kepada hubungan perdagangan, memaksa Eropah untuk meneroka peluang baharu dalam sektor tenaga dan memikirkan semula model perniagaannya. Dalam konteks ini, lokasi strategik Turkiye, kapasiti industri dan kesalinghubungan dengan pasaran Eropah menjadikannya sebagai pemain penting.
Kemas kini Kesatuan Kastam akan memberikan manfaat besar kepada Eropah dalam menangani ancaman, sama ada dari AS atau Asia, kata Slevogt, sambil menekankan keperluan untuk mentakrifkan semula hubungan EU-AS.
— BERNAMA-AA