Tumpuan :
Dunia

Turkiye evakuasi rakyatnya dari Lubnan, hantar bantuan kemanusiaan

Foto fail Reuters

ANKARA: Turkiye mengumumkan pada Selasa bahawa ia akan memindahkan rakyatnya dari Lubnan pada Rabu melalui laluan laut berikutan pengeboman Israel di negara itu yang semakin meningkat, lapor Xinhua.

Dua kapal tentera laut Turkiye dijadualkan bertolak ke Beirut pada Selasa sebagai sebahagian daripada operasi berkenaan, menurut kenyataan Kementerian Luar Turkiye.

Menurut kenyataan itu, kedua-dua kapal mempunyai kapasiti gabungan kira-kira 2,000 penumpang, sambil menambah bahawa butiran pemindahan akan disampaikan kepada warga yang telah menghubungi pusat panggilan konsulat.

Jika perlu, usaha pemindahan akan diteruskan dalam beberapa hari berikutnya, menurut kementerian itu.

Ia turut memaklumkan bahawa kapal berkenaan akan membawa bantuan kemanusiaan ke Lubnan.

Tentera Israel menjalankan kempen udara di Lubnan, yang dinamakan “Arrows of the North”, sejak 23 September sebagai tindak balas terhadap ketegangan yang semakin memuncak dengan Hizbullah, menandakan peningkatan permusuhan yang ketara.

Hizbullah dan pasukan Israel saling berbalas tembakan di sepanjang sempadan Lubnan-Israel sejak 8 Oktober 2023, mencetuskan kebimbangan konflik yang lebih luas ketika perang antara Hamas dan Israel terus berlanjutan di Semenanjung Gaza.

— BERNAMA-XINHUA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini