comscore
Tumpuan :
Dunia

Tumpuan kini terarah kepada Kamala Harris

FOTO: Reuters

HOUSTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden menyatakan sokongan terhadap Naib Presiden Kamala Harris sebagai penggantinya dalam usaha Demokrat mengekalkan pentadbiran di Rumah Putih.

“Walaupun saya berniat untuk bertanding semula, saya percaya ia adalah demi kepentingan parti dan negara untuk saya mengundurkan diri dan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap tugas sebagai Presiden bagi baki penggal saya,” kata Biden dalam satu kenyataan di platform X.

Keputusan ini menyebabkan Parti Demokrat terpaksa mencari calon rasmi untuk Pilihan Raya Presiden pada 5 November.

Masa semakin suntuk dengan Konvensyen Nasional Demokrat di Chicago, Illinois yang semakin hampir iaitu dari 19 hingga 22 Ogos.

Presiden menyokong Harris untuk menggantikan beliau dalam pilihan raya menentang Trump.

“Keputusan pertama saya sebagai calon parti pada 2020 adalah memilih Kamala Harris sebagai naib presiden saya. Dan itu adalah keputusan terbaik yang pernah saya buat. Hari ini saya ingin memberikan sokongan penuh saya kepada Kamala untuk menjadi calon parti kita tahun ini.

“Demokrat, sudah tiba masanya untuk kita bersatu dan mengalahkan Trump. Mari kita lakukan ini,” katanya.

Menurut laporan Agensi Anadolu, sokongan Biden tidak menjamin bahawa Harris akan menjadi calon presiden Demokrat.

Namun, jika beliau dipilih oleh partinya dan memenangi Pilihan Raya Presiden pada November, beliau akan menjadi presiden wanita pertama dalam sejarah Amerika.

Harris dilahirkan pada 1964 di Oakland, California. Ibunya merupakan seorang ahli biologi yang berasal dari India dan bapanya seorang profesor ekonomi dari Jamaica, yang berhijrah ke Amerika Syarikat.

Harris melanjutkan pelajaran dalam bidang sains politik dan ekonomi di Howard University di Washington, D.C. sebelum menerima ijazah undang-undang di University of California, Hastings College of Law.

Beliau memulakan kerjaya undang-undang yang cemerlang, menjadi peguam wanita pertama bagi Daerah San Francisco pada 2004.

Beliau juga memenangi pemilihan peguam negeri California pada 2010 dan berjaya dipilih semula untuk penggal kedua pada 2014.

Pada 2016, Harris memenangi pemilihan Senat AS di California, menjadi senator pertama daripada keturunan Asia Selatan dan Afrika Amerika yang menyertai Kongres dari negeri itu.

Beliau melancarkan kempen untuk pencalonan presiden Demokrat pada 2020 pada Januari 2019 tetapi menarik diri kurang dari setahun kemudian pada Disember.

Selepas Biden menewaskan Trump dalam Pilihan Raya 2020, Harris menjadi wanita berketurunan Asia Selatan dan Afrika Amerika pertama yang berkhidmat sebagai Naib Presiden ke-49, jawatan kedua tertinggi negara ini.

Walaupun memiliki kelayakan yang mengagumkan, Harris tetap menjadi tokoh polarisasi dalam kalangan Demokrat, justeru sokongan Biden tidak menjamin bahawa beliau akan menjadi calon presiden Demokrat.

Pandangan beliau mengenai setiap topik, termasuk imigresen, pengguguran, penjagaan kesihatan, pelepasan hutang pelajar, perubahan iklim dan perang di Ukraine dan Gaza, sedang diteliti secara mendalam.

Pakar politik percaya bahawa Harris tidak secara automatik menggantikan Biden sebagai calon parti.

Pada Konvensyen Nasional Demokrat bulan depan, Biden dijangka menerima pencalonan parti dengan hampir 3,900 perwakilan dari semua 50 negeri berikrar menyokong pencalonannya, dua kali ganda daripada 1,976 perwakilan yang diperlukan untuk memenangi pencalonan.

Kini, perwakilan itu bebas mengundi sesiapa sahaja yang mereka inginkan.

Jika Biden meletak jawatan sebagai presiden, Harris secara automatik akan menggantikan beliau sebagai calon parti, tetapi Biden merancang untuk berkhidmat hingga tamat penggal empat tahunnya.

Meskipun terdapat beberapa naib presiden AS yang menjadi calon presiden untuk parti masing-masing termasuk Richard Nixon, Walter Mondale, George H.W. Bush, Al Gore dan bahkan Joe Biden sendiri, memilih Harris sebagai calon presiden seterusnya untuk parti Demokrat bukanlah sesuatu yang pasti.

Nama-nama lain yang diperkatakan dalam kalangan ahli-ahli politik Demokrat termasuk Gabenor Michigan Gretchen Whitmer, Gabenor California Gavin Newsom, Gabenor Kentucky Andy Beshear dan Gabenor Maryland Wes Moore, serta Senator AS Amy Klobuchar dari Minnesota dan Cory Booker dari New Jersey.

Jika Harris dicalonkan sebagai calon Parti Demokrat, tinjauan pendapat baru-baru ini meletakkan beliau setanding dengan angka Biden dalam menghadapi Trump dengan beberapa tinjauan memberikan sedikit kelebihan kepada naib presiden itu, perlumbaan antara Harris dan Trump dijangka menjadi sengit.

Tinjauan CBS News/YouGov menunjukkan bahawa Trump mendahului Harris dengan tiga mata (51 peratus – 48 peratus) berbanding perbezaan lima mata Biden (52 peratus – 47 peratus).

Tinjauan Economist/YouGov menunjukkan Trump mendahului Harris dengan lima mata (44 peratus – 39 peratus) manakala Trump hanya mendahului Biden dengan dua mata (43 peratus – 41 peratus).

Tanpa mengambil kira tinjauan, Demokrat kini mempunyai kurang dari sebulan untuk memutuskan sama ada Harris harus menjadi pilihan mereka bagi menghadapi Trump pada November. – BERNAMA-ANADOLU

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini