Tumpuan :
Dunia

Trump umum tarif import tinggi barangan Mexico, Kanada dan China

FOTO: REUTERS

WASHINGTON: Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mengumumkan bakal mengenakan tarif import tinggi ke atas semua barangan dari Mexico dan Kanada, serta tarif tambahan terhadap barangan dari China sebaik kembali ke White House.

Dalam satu kenyataan menerusi platform media sosial Truth Social, Trump berkata, beliau akan menandatangani Perintah Eksekutif berhubung perkara itu pada hari pertama kembali memegang jawatan berkenaan.

Menurut Trump, 20 Januari, satu daripada Perintah Eksekutif pertama akan ditandatangani adalah semua dokumen bagi mengenakan tarif 25 peratus ke atas semua produk yang masuk ke AS dari Mexico dan Kanada, serta sempadan terbuka mereka.

AS juga akan mengenakan tarif tambahan 10 peratus ke atas China, melebihi tarif tambahan yang sedia ada terhadap semua produk mereka yang masuk ke negara itu.

Sepanjang penggal pertama beliau sebagai Presiden AS sebelum ini, Trump mengenakan tarif punitif yang tinggi ke atas banyak barangan dari China.

Dalam kempen Pilihan Raya Presiden AS 2024, beliau mengancam untuk mengenakan lebih banyak tarif ke atas produk China, yang dijangka memberi kesan besar terhadap perdagangan dunia.

Sementara itu, media antarabangsa melaporkan respon China menyatakan akan memberi tindak balas terhadap pengumuman Trump, dengan tiada pihak akan menang dalam perang perdagangan.

Dalam perkembangan berkaitan, Kanada turut menegaskan kepentingannya kepada AS, sejurus selepas Trump mengumumkan akan mengenakan tarif import yang tinggi ke atas semua barangan dari negara jiran itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini