MOSCOW: Calon Parti Republikan dan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, partinya harus diberi pampasan atas dakwaan penipuan oleh pihak Presiden AS, Joe Biden selepas keputusannya untuk menarik diri daripada pemilihan Presiden, lapor Sputnik.
Pada Ahad, Biden mengumumkan bahawa beliau menarik diri daripada pemilihan Presiden dan menyokong Naib Presiden, Kamala Harris sebagai calon Parti Demokrat untuk jawatan Presiden AS.
“Bukankah seharusnya Parti Republikan diberi pampasan atas penipuan kerana semua orang di sekeliling Joe, termasuk doktornya dan media berita palsu, tahu bahawa beliau tidak mampu untuk bertanding atau menjadi Presiden?” catat Trump di rangkaian media sosialnya pada Ahad.
Bekas presiden itu menambah bahawa Parti Republikan terpaksa membelanjakan wang dan masa untuk melawan Biden dan kerana beliau telah menarik diri, kempen itu terpaksa dimulakan semula.
Pilihan raya Presiden AS dijadualkan berlangsung pada 5 November depan. – BERNAMA-SPUTNIK
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa