FLORIDA: Calon Presiden Amerika Syarikat dari Parti Republikan, Donald Trump sekali lagi berdepan situasi cubaan bunuh kedua ke atas dirinya, dua bulan selepas beliau terselamat dalam insiden tembakan ketika berkempen di Pennsylvania.
Cubaan bunuh terbaharu ke atas Trump kali ini berlaku di kelab golf miliknya, Trump International Golf Club di West Palm Beach, Florida.
Ketika kejadian, bekas presiden itu dikatakan sedang bermain golf pada jam 1:30 tengah hari waktu tempatan sebelum beberapa das tembakan dilepaskan dari luar kawasan kelab.
Menurut kenyataan Ejen Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat, sekurang-kurangnya empat das tembakan dilepaskan dalam kejadian tembak-menembak di antara suspek dan beberapa anggota ejen.
Suspek kemudian bertindak melarikan diri dari kawasan terbabit dengan menaiki sebuah kereta hitam.
Hasil maklumat saksi kejadian dan anggota polis kemudiannya membawa kepada penahanan suspek di Martin County.
Biro Penyiasatan Persekutuan, FBI dalam sidang medianya memaklumkan identiti suspek dikenal pasti sebagai Ryan Wesley Routh.
Tidak lama selepas kejadian, Trump memuat naik kenyataan di laman X memaklumkan keadaan beliau selamat namun tiada butiran lanjut mengenainya.
Dalam pada itu, White House menerusi kenyataan rasminya menjelaskan Presiden Joe Biden dan Naib Presiden, Kamala Harris sudah dimaklumkan mengenai situasi itu dan memandang serius ancaman berkenaan. – REUTERS
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.