WASHINGTON: Donald Trump kembali ke Rumah Putih sebagai Presiden ke-47 Amerika Syarikat (AS) selepas menewaskan pencabarnya daripada Demokrat, Kamala Harris, pada Pilihan Raya Presiden 2024 berdasarkan keputusan tidak rasmi, hari ini.
Keputusan tidak rasmi setakat jam 5 pagi waktu tempatan menunjukkan bekas Presiden AS daripada parti Republikan itu hampir pasti melakar kemenangan dengan membolot 267 undi elektoral berbanding 224 yang diperoleh Harris, 60.
Mengikut sistem Kolej Elektoral, majoriti diperlukan untuk memenangi jawatan Presiden AS ialah 270 undi elektoral.
Dalam keputusan yang menjadi tumpuan seluruh dunia itu, Trump, 78, turut menguasai sekurang-kurang empat daripada tujuh negeri ‘medan tempur’ yang dijangka menjadi penentu keputusan pilihan raya kali ini, iaitu Pennsylvania yang mempunyai 19 undi elektoral, Carolina Utara (16), Georgia (16), dan Wisconsin (10).
Tiga lagi negeri ‘atas pagar’ yang belum diketahui keputusan ketika berita ini ditulis ialah Michigan yang mempunyai 15 undi elektoral, Arizona (11) dan Nevada (enam).
Malah, parti Republikan turut menguasai Senat, termasuk merampas dua kerusi, sekali gus menidakkan majoriti tipis Demokrat sebelum ini.
Bersama sorakan gempita penyokong yang melaungkan ‘USA’, Trump naik ke atas pentas di ibu pejabat kempennya di Florida, bersama isteri, Melania, dan anak-anak, untuk menyampaikan ucapan kemenangan penuh bersemangat.
“Kita akan membantu negara kita untuk pulih.
“Ia adalah kemenangan politik yang negara kita tidak pernah saksikan sebelum ini,” katanya yang memenangi Pilihan Raya Presiden AS 2016 tetapi tewas kepada Joe Biden pada 2020.
Trump sekali gus menzahirkan penghargaan kepada rakyat AS atas ‘penghormatan dipilih ke jawatan kepimpinan tertinggi itu.’
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat Amerika atas penghormatan luar biasa dipilih sebagai Presiden ke-47 dan Presiden ke-45 (pilihan raya 2016) anda.
“Ini adalah kemenangan hebat untuk rakyat Amerika yang akan membolehkan kita menjadikan Amerika hebat semula,” katanya.
Dalam pada itu, ramai pemimpin dunia turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Trump atas kemenangannya.
Antaranya ialah Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol; Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Canselor Jerman, Olaf Scholz; Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr; dan Presiden Mesir, Abdel Fattah Al Sisi;
Selain itu Perdana Menteri India, Narendra Modi; Perdana Menteri Britain, Keir Starmer; Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni; Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif; dan Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez.
Perdana Menteri Israel yang juga sekutu rapat AS, Benjamin Netanyahu, turut mengucapkan tahniah kepada Trump.
Jurucakap Kementerian Luar China, Mao Ning pula berkata, Beijing akan meneruskan dasar konsisten dalam hubungan China-AS dengan berdasarkan prinsip saling menghormati, kewujudan bersama secara aman, dan kerjasama menang-menang.
Sementara itu, kem Harris dilaporkan diselubungi keadaan suram berikutan perkembangan berkenaan.
Pengerusi bersama kempen beliau, Cedric Richmond memaklumkan bahawa Harris tidak akan menyampaikan ucapan, malam ini, tatkala penyokongnya meninggalkan majlis yang dijadualkan lebih awal di Washington DC.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.