Tumpuan :
Dunia

Trump tangguh tarif import Kanada, Trudeau umum pelan sempadan Kanada-AS

Foto: Reuters

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bersetuju menangguhkan tarif ke atas import Kanada selama 30 hari, sementara kedua-dua negara bekerjasama menangani penyeludupan fentanyl dan kawalan sempadan.

Perdana Menteri Kanada, Justin Trudeau, dalam hantaran di media sosial, mengumumkan pelaksanaan pelan keselamatan sempadan bernilai AS$1.3 bilion.

Langkah itu termasuk memperkukuh sempadan dengan helikopter, teknologi baharu, tambahan anggota keselamatan, dan penambahbaikan kerjasama dengan pihak berkuasa AS.

“Kanada juga akan melantik seorang ‘Fentanyl Czar’, menyenaraikan kartel sebagai pengganas, serta memastikan pemantauan sempadan setiap masa.

Kami turut melancarkan Pasukan Serangan Bersama Kanada-AS untuk membanteras jenayah terancang, penyeludupan fentanyl dan aktiviti pengubahan wang haram,” kata Trudeau.

Trump, dalam reaksi di Truth Social, mengesahkan persetujuan Kanada dan menegaskan komitmennya untuk melindungi rakyat AS daripada ancaman fentanyl yang telah membunuh ratusan ribu warga Amerika.

Sebelum ini, Trump mengancam untuk mengenakan tarif 25 peratus terhadap barangan dari Mexico dan Kanada serta 10 peratus terhadap import dari China, termasuk 10 peratus tarif ke atas sumber tenaga dari Kanada.

Sebagai tindak balas, Trudeau memberi amaran bahawa Kanada akan mengenakan tarif balas sebanyak 25 peratus terhadap barangan AS dengan anggaran nilai berjumlah AS$155 bilion.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini