Tumpuan :
Dunia

Trump salahkan pendatang dengan kenaikan harga rumah AS

Calon Presiden dari Republikan dan bekas Presiden AS, Donald Trump. – FOTO: Reuters

WASHINGTON: Calon Presiden dari Republikan, Donald Trump dan anggota partinya yang bertanding untuk Senat Amerika Syarikat (AS) menyalahkan pendatang atas peningkatan kos perumahan, walaupun semakan data ekonomi dan penyelidikan bebas menunjukkan kesannya terhad.

Bekas presiden AS dan sekutunya mendakwa, perkara itu menjadi satu kebimbangan ekonomi utama kepada pengundi AS sekali gus sebagai alasan untuk mengecam imigresen, salah satu isu teras kempennya.

“Pendatang menyebabkan kos perumahan melambung tinggi,” katanya pada satu perhimpunan di Arizona sambil berdiri di latar belakang yang bertulis ‘Jadikan perumahan mampu milik semua’.

Bercakap di Tucson, Trump menunjukkan bilangan pendatang yang memasuki AS dalam tahun-tahun kebelakangan ini berbanding bilangan rumah yang dibina, dua statistik yang juga digunakan oleh calon Senat Republikan di negeri itu, Kari Lake, sebagai bukti hujah mereka.

Dalam tinjauan Reuters/Ipsos pada Ogos lalu, kos perumahan yang tidak mampu milik adalah kebimbangan kedua terbesar pengundi berdaftar mengenai ekonomi AS di mana satu daripada tiga pengundi menyebut kos perumahan, kedua ialah mengenai pendapatan berbanding inflasi.

Bagaimanapun Naib Presiden, Kamala Harris pula meletakkan perumahan sebagai fokus dalam tawaran ekonomi kepada pengundi dan merancang untuk merangsang pembinaan baru serta mengurangkan kos bagi penyewa dan pembeli rumah, terutamanya melalui insentif cukai.

Menurut anggaran Freddie Mac, dalam dekad yang lalu, AS membina rumah dan apartmen baru pada kadar tahunan sekitar 30 peratus lebih perlahan daripada sebelum krisis kewangan 2008, meninggalkan pasaran kekurangan 1.5 juta unit berbanding apa yang diperlukan untuk menyeimbangkan penawaran dan permintaan, manakala Moody’s Analytics menyatakan kekurangan itu lebih hampir kepada 2.9 juta unit.

Anggaran oleh Apartment List menunjukkan, kekurangan yang turut ditambah dengan inflasi akibat COVID-19 menyebabkan sewa purata meningkat kira-kira 23 peratus berbanding 2020.

Harga rumah di AS meningkat 50 peratus dalam lima tahun lalu dan sewa meningkat 35 peratus, menurut firma hartanah Zillow.

Bagaimanapun, ahli akademik yang mengkaji hubungan antara imigresen dan perumahan mengatakan aliran pendatang mempunyai kesan kecil ke atas harga dengan peningkatan satu peratus dalam populasi sebuah bandar biasanya mendorong sewa dan harga perumahan meningkat sebanyak satu peratus saja.

Secara keseluruhan, harga pengguna meningkat 21 peratus sejak 2020, menurut data persekutuan.

Pengarah, Makmal Ekonomi Bandar Institut Teknologi Massachusetts, Albert Saiz berkata, penyelidikannya menunjukkan peningkatan itu menjadi pendorong utama harga rumah dan sewa, diikuti oleh peningkatan dalam kerja jarak jauh yang membawa kepada permintaan untuk rumah yang lebih besar dengan ruang pejabat dan lebih banyak rumah di luar bandar-bandar pesisir utama.

“Kesan imigresen adalah di bawah faktor-faktor itu, dari segi kuantitatif, saya rasa ia tidak dapat menjelaskan apa yang telah berlaku,” katanya.

Bagi profesor ekonomi di Universiti Florida Utara, Madeline Zavodny, beliau berkata kemasukan pendatang haram yang membentuk sebahagian besar pekerja pembinaan mungkin mendorong kenaikan sewa, tetapi ia mungkin mempunyai kesan yang lebih besar terhadap penawaran perumahan berbanding permintaan, sekali gus membantu menurunkan harga perumahan secara keseluruhan.

Menurut Julia Gelatt dari Institut Dasar Migrasi, pendatang mengisi unit perumahan, tetapi kerana mereka bekerja pada kadar yang tinggi dalam pembinaan dan pengubahsuaian, mereka juga membantu meningkatkan penawaran perumahan. – REUTERS

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini