Tumpuan :
Dunia

Trump rancang pecat peguam penyiasat berkaitan rusuhan di Capitol dan dokumen sulit

Presiden Terpilih Amerika Syarikat, Donald Trump. – FOTO: Reuters

WASHINGTON: Presiden Terpilih Amerika Syarikat  Donald Trump, dilaporkan merancang untuk memecat keseluruhan pasukan Peguam Khas Jack Smith yang menyiasat penglibatannya dalam insiden rusuhan di Capitol pada 2011 serta kes dokumen sulit, lapor Sputnik.

Menurut laporan akhbar The Washington Post pada Sabtu, yang memetik dua individu yang mengetahui rancangan itu, Trump turut bercadang memecat peguam kerajaan berpengalaman yang biasanya dilindungi daripada tindak balas politik.

Trump juga dilaporkan berhasrat untuk menubuhkan pasukan penyiasat dalam Jabatan Kehakiman bagi mengumpul bukti berhubung dakwaan penipuan Pilihan Raya Presiden 2020, khususnya di negeri-negeri penentu.

Bagaimanapun, pengenalan peraturan yang membolehkan Trump memecat kakitangan kerajaan tanpa halangan dijangka mengambil masa bertahun-tahun, menurut pakar yang ditemu bual akhbar itu.

Awal bulan ini, media Amerika Syarikat melaporkan bahawa Jack Smith dijangka meletakkan jawatan sebagai Peguam Khas sebelum Trump kembali ke Rumah Putih. Smith telah memegang jawatan itu sejak November 2022.

Laporan media juga menyebut prosiding terhadap Trump mungkin dihentikan sebelum beliau secara rasmi memegang jawatan presiden.

Pilihan Raya Presiden Amerika Syarikat telah berlangsung pada 5 November lepas, dengan Trump, yang pernah berkhidmat sebagai presiden dari 2017 hingga 2021, diumumkan sebagai pemenang oleh semua agensi perangkaan dan media utama. Calon Demokrat, Kamala Harris, mengakui kekalahan dalam ucapan kepada penyokongnya.

Badan Perwakilan Pemilih dijangka mengundi selaras dengan kehendak pengundi pada 17 Disember, dan Kongres baharu akan meluluskan keputusan itu pada 6 Januari. Majlis angkat sumpah presiden pula akan berlangsung pada 20 Januari. – BERNAMA-SPUTNIK

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini