WASHINGTON: Presiden terpilih Donald Trump pada Khamis mengumumkan untuk mencalonkan David Sacks, seorang kapitalis berhaluan kanan dan sekutu rapat kepada jutawan teknologi Elon Musk, sebagai ” the White House AI & Crypto Czar”.
Pengumuman itu dibuat menerusi platform media sosialnya, Truth Social, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Trump menyifatkan kecerdasan buatan (AI) dan mata wang kripto sebagai dua bidang penting bagi daya saing masa depan Amerika.
Sacks akan bertanggungjawab memastikan Amerika Syarikat muncul sebagai peneraju pasaran dunia dalam industri AI dan mata wang digital.
Trump juga berkata bahawa Sacks akan melindungi kebebasan bersuara dalam talian dan “membawa kita menjauhi bias serta penapisan oleh Big Tech.”
Selain itu, Sacks juga diberi tanggungjawab untuk membangunkan rangka kerja undang-undang bagi industri kripto agar “mendapat kejelasan yang diperlukan dan dapat berkembang di AS.”
Beliau, yang juga seorang jutawan akan mengetuai lembaga penasihat presiden masa depan dalam bidang sains dan teknologi.
Sejak kemenangan Trump pada 5 Nov, pelabur bitcoin meraikannya dengan lonjakan nilai mata wang itu daripada US$70,000 sebelum pilihan raya kepada lebih US$100,000 minggu ini.
Kegembiraan ini turut dipacu oleh pengumuman Trump bahawa beliau akan melantik Paul Atkins, penyokong mata wang digital, sebagai ketua Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa Amerika Syarikat (SEC).
— BERNAMA-dpa
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.