CHICAGO: Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menamakan dua orang warga Arab-AS untuk berkhidmat dalam Kabinetnya sejurus beliau mengangkat sumpah jawatan pada Januari.
Trump mencalonkan Dr Janette Nesheiwat untuk menjadi Ketua Pegawai Perubatan AS dan Dr Marty Makary sebagai ketua Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS.
Pelantikan itu mendapat pujian Dr Bishara Bahbah, pengerusi ‘Arab Americans for Trump’, yang membantu bekas presiden memenangi hampir separuh undi Arab-AS dalam pilihan raya pada 5 November lalu menentang Naib Presiden AS, Kamala Harris.
Dr Makary adalah pakar bedah British-AS dengan latar belakang Lubnan.
Beliau adalah penyelidik dasar awam di Universiti Johns Hopkins dan profesor di Sekolah Perubatan Johns Hopkins serta profesor kehormat di Sekolah Perniagaan Carey Johns Hopkins.
Penyelidikan semasa beliau menumpukan kepada punca penyakit, dasar awam, kos penjagaan kesihatan, dan perubatan berasaskan hubungan.
Dr Makary sebelum ini berkhidmat dalam kepimpinan program keselamatan pesakit Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) dan dipilih sebagai ahli Akademi Perubatan Negara.
Sementara itu, Dr Nesheiwat adalah seorang doktor perubatan dengan dua pensijilan lembaga, yang dipaparkan di laman sesawangnya sebagai ‘membawa sikap yang jujur dan segar terhadap berita perubatan terkini, menguraikan segala yang perlu diketahui bagi memastikan kesihatan masyarakat terjamin sepanjang masa.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.