LAS VEGAS: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, pada Sabtu menyatakan kesediaan untuk mempertimbangkan penyertaan semula negara itu dalam Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
Trump menjelaskan keputusan awal pentadbirannya untuk menarik diri daripada WHO dengan alasan ketidakadilan sumbangan kewangan.
“Kami menarik diri dari WHO, di mana kami membayar AS$500 juta setahun, manakala China hanya membayar AS$39 juta, walaupun mempunyai populasi yang jauh lebih besar,” katanya.
Beliau turut mendedahkan bahawa terdapat tawaran untuk mengurangkan sumbangan AS kepada AS$39 juta sekiranya AS kembali menyertai organisasi itu.
“Saya menolak tawaran tersebut. Namun, mungkin kami akan mempertimbangkannya semula sekiranya perlu,” tambahnya.
Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) AS dijangka meninggalkan WHO secara rasmi pada 22 Januari 2026.
Pengumuman rasmi mengenai perkara itu dibuat oleh Trump pada Isnin selepas beliau mengangkat sumpah untuk penggal kedua sebagai Presiden.
Sementara itu, Beliau turut menggesa Arab Saudi untuk meningkatkan pelaburan kepada AS$1 trilion, berbanding janji awal AS$600 bilion.
Trump mendedahkan bahawa Putera Mahkota Mohammed bin Salman bersetuju untuk melabur AS$600 bilion dalam pembangunan perdagangan dan pelaburan bersama AS dalam tempoh empat tahun akan datang.
Trump bagaimanapun berkata beliau akan menggesa Arab Saudi untuk meningkatkan jumlah itu kepada AS$1 trilion.
“Arab Saudi kaya dengan ’emas cair’. Kita juga memiliki lebih banyak sumber tersebut, tetapi kita tidak menggunakannya kerana alasan alam sekitar,” kata Trump, merujuk kepada sekatan penggunaan bahan api fosil di AS.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.