WASHINGTON: Presiden dipilih Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menamakan bekas Wakil Wisconsin, Sean Duffy, yang kini hos Fox News, untuk jawatan Setiausaha Jabatan Pengangkutan negara itu.
Sekiranya dilantik, Duffy akan memantau sektor penerbangan, automotif, kereta api, transit dan dasar pengangkutan lain dengan anggaran bajet sekitar AS$110 billion.
Ini termasuk dana besar yang tersedia di bawah undang-undang infrastruktur bernilai AS$1 trilion yang diluluskan oleh pentadbiran Joe Biden pada 2021.
Dalam pada itu, Trump berikrar untuk menarik balik peraturan bahan pelepasan kenderaan diperkenalkan dalam pentadbiran Biden selain merancang memulakan proses pembatalan peraturan ketat Biden yang dimuktamadkan awal tahun ini sebaik sahaja beliau memegang jawatan.
Peraturan berkenaan mengurangkan had pelepasan gas karbon sebanyak 50 peratus menjelang 2032, serta menggesa pengeluar kenderaan membangunkan lebih banyak kenderaan elektrik (EV).
Untuk rekod, Trump kini mempunyai sokongan 295 perwakilan berbanding 226 yang memilih pesaingnya, Kamala Harris.
Dua negeri iaitu Nevada dan Arizona belum mengumumkan keputusan, namun kedua-duanya dilihat cenderung kepada Trump.
Trump dijangka mengangkat sumpah sebagai Presiden AS bagi penggal kedua pada 20 Januari 2025.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.